Sejak munculnya wabak COVID-19, macam-macam gelagat lucu dan aneh timbul.

Terbaru, hospital di Jakarta, Indonesia terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat selepas ramai ahli keluarga melarikan mayat mangsa COVID-19.

Menurut polis tempatan dikenali sebagai Ibrahin Tompo, tindakan sesetengah pihak melarikan mayat kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.

"Ada yang masih degil dan tidak faham prosedur hospital.

"Ramai saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam tidak bersetuju dengan prosedur ini kerana tidak boleh memandikan dan mengkafankan jenazah sebelum dikebumi mengikut tuntutan agama.

"Sehingga kini saja sudah 33 individu ditahan. Kesemua mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan," katanya.

Jelasnya, pihak berkuasa juga telah mengerahkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal keadaan ini.

"Keadaan agak serius sehinggakan ada yang segera menuntut mayat untuk dikebumikan segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan COVID-19," katanya.

Difahamkan, situasi sama turut berlaku di Surabaya apabila empat individu telah ditahan selepas saudara-mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital tempatan.

Sumber: AFP