Penjara selama 10 tahun! Itu hukuman yang dijatuhkan terhadap seorang pemuda selepas dia mengaku bersalah cuba membunuh dengan menikam perut bayi perempuannya berusia 18 bulan dalam kejadian Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Safwan Shafie, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Menerusi laporan Malaysiagazzet, hakim kemudian menetapkan hukuman penjara bagi pertuduhan itu dilaksanakan bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Disember lalu.

Difahamkan, semasa prosiding, Muhammad Safwan yang memakai baju lokap berwarna ungu dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh ketika ditunjukkan gambar-gambar kes termasuk gambar mangsa.

“Minta hukuman seringan-ringannya kerana saya sudah insaf,” rayu tertuduh.

Tertuduh walaubagaimanapun tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Shanur Farahin Shapri memohon hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia merupakan satu kesalahan serius.

“Sebagai seorang bapa, OKT seharusnya menjadi seorang pelindung namun telah bertindak mencederakan mangsa yang merupakan anak sendiri sehingga boleh menyebabkan kematian,” ujarnya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Safwan didapati cuba membunuh seorang bayi perempuan berusia 18 bulan dengan menikam perut mangsa di sebuah rumah di Flat Puchong Permai, Puchong pada 12 Disember 2020 kira-kira pukul 4.30 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.