Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersyukur beliau dan keluarga berada dalam keadaan selamat susulan kejadian tembakan di Siam Paragon Mall di Bangkok pada Selasa.

BACA: Remaja 14 Tahun Disyaki Terlibat Dalam Insiden Tembakan Rambang Siam Paragon

Tengku Mahkota Johor berada di Bangkok untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United.

Dalam kemas kini di media sosial, TMJ menceritakan situasi cemas yang dilalui mereka sekeluarga apabila penembak mula melepaskan tembakan dan orang ramai mula meluru masuk ke dalam lobi hotel di mana mereka menginap, untuk mendapatkan perlindungan.

"Kami membawa anak-anak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
"Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku," tulis TMJ.

Tambah TMJ, apa yang difikirkannya ketika itu ialah untuk membawa keluarga dan pasukannya keluar dari situasi bahaya secepat mungkin. Mereka kemudian dibawa ke Kedutaan Singapura yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

"Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis," katanya sambil memaklumkan mereka sekeluarga kini berada di kedutaan, dan sudah pun menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk memaklumkan situasi semasa.

"Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh.

"Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua," katanya.