Pelakon Nabila Huda menyatakan dia menjadi lebih selektif dalam memilih produk untuk dilakukan reviu di platform Instagram (IG).

Kata Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil, 36, dia yang akan menentukan posting apa yang boleh dibuat mengikut caranya.

"Ada sesetengah orang jadikan reviu itu sebagai kerjaya mereka. Terpulanglah, masing-masing ada pendirian sendiri.

"Kalau tengok di IG saya, tak banyak reviu sebab saya kawal benda itu. Kita faham orang bisnes tapi dalam hal ini lebih baik kalau kita tak terima gambar yang mereka bagi.

"Sebenarnya kita yang kawal laman sosial kita sendiri contohnya iklan besarkan payudara janganlah post gambar itu pula.

"Macam saya kalau orang nak suruh reviu saya boleh saja tapi mereka kena ikut cara saya dan tak boleh paksa post sesuatu gambar yang tak sepatutnya. Nampak buruk dekat IG saya nanti!" katanya kepada Gempak.

Tambah anak kepada penyanyi Amy Search, dia lebih suka berkongsi hal kerjaya dan kehidupan kepada peminat.

"Kita faham sesetengah orang guna IG untuk tambah pendapatan dan rezeki. Macam saya cuma nak kongsi kehidupan dan pekerjaan.

"Saya hadkan perkongsian di media sosial dan kalau perlu kongsi saya akan kongsi.

"Media sosial ini adalah tempat peminat nak dekat dengan kita, kalau terlalu banyak reviu orang akan bosan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Abil juga merupakan salah seorang juri di program terbaharu Astro Warna, The Masked Singer Malaysia.

Abil bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella, Zizan Razak, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk duduk di kerusi juri tetap.

Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: The Masked Singer Malaysia: Zain Hamid Berjaya Sorok Identiti Sampai Tersingkir, "Muka Remy Memang Terkejut Sebab ..."

BACA: The Masked Singer Malaysia: "Tak Terus Terima Tawaran Minta Nak Fikirkan Dulu" - Zain Hamid​