Penyanyi Aiman Tino memohon jasa baik pihak yang telah memecahkan cermin keretanya untuk merompak beberapa barangan berharga miliknya untuk memulangkannya semula.

Malah, Aiman bersetuju untuk membayar jumlah tertentu dan berjanji tidak akan mendedahkan identiti pihak yang memulangkan barang-barangnya itu.

"Kepada yang mengambil barang saya, kalau awak baca story ini, please! Let go barang-barang saya itu pada saya. Saya perlukan.

"Saya akan bayar awak. Please DM saya secara personal, saya akan jaga aib awak. Saya janji. Tolong," tulis Aiman menerusi Instastories lewat malam tadi.

Antara barangan peribadi milik Aiman yang telah dirompak ialah komputer riba jenis HP, kamera GoPro Hero 7, Kamera DSLR Canon dan sebiji beg jenama Lacoste.

Aiman turut berpesan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpanya.

"Macam ini barang saya hilang. Kereta saya kena pecah," tambah Aiman.

Sementara itu, kes malang yang menimpa penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu mendapat perhatian warganet di Twitter dan telah diviralkan untuk membantunya mendapatkan semula barangan yang hilang itu.

Difahamkan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kg Melayu Subang untuk tindakan lanjut.