
Mengambil kesempatan ini,
Manhart yang berpengkalan di Wuppertal, Jerman baru-baru ini menayangkan GR Supra versi mereka tersendiri iaitu
GR 550. Ia adalah kesinambungan kepada GR 450 yang diperkenalkan enam bulan lalu dan seperti yang dijangka, rekaan terbaru ini tampil dengan kuasa yang lebih tinggi.

Dengan modifikasi yang membabitkan pengecas turbo
TTE 685, kit radiator Wagner Tuning serta unit kawalan enjin (ECU) yang ditala semula, Manhart berjaya memerah 550PS dan 770Nm dari enjin B58 3.0-liter enam silinder sebaris itu, mewakili peningkatan sebanyak 162PS dan 270Nm. Turut membantu adalah penggunaan sistem ambilan udara karbon dan sistem ekzos sport dengan penukar pemangkin.

Prestasi GR 550 tidak didedahkan namun melihat kepada jumlah kuasa dan tork tambahan yang diperoleh, ia sudah pasti lebih pantas berbanding versi standard yang mampu memecut dari
0 hingga 100km/j dalam 4.1 saat.
Selari dengan kuasa yang semakin tinggi, Manhart turut menambahbaik aspek pengendalian dengan menggunakan gegelung lebih rendah keluaran H&R. Bagaimanapun, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan sistem ‘coilover’ dari KW. Sistem brek yang digunakan pada jentera ini adalah standard namun syarikat itu bersedia untuk memenuhi sebarang permintaan.

Dari segi penampilan, GR 550 mendapat spoiler hadapan
AC Schnitzer dan rim Concave One berukuran 20 inci yang dibalut tayar bersaiz 255/30 di hadapan dan 295/25 di belakang. Balutan kuning keemasan yang dipadankan dengan jalur hitam dan merah memberikan kereta sport ini penampilan yang lebih menonjol. Ruang dalaman pula boleh dikustom mengikut cita rasa pelanggan.