Pulau Langkawi sememangnya terkenal sebagai destinasi bulan madu, pengembaraan bersama teman rapat serta percutian keluarga.

Menghitung detik untuk kebenaran merentas negeri, anda boleh merancang terlebih dahulu percutian ke Pulau Langkawi.

Di sini Gempak senaraikan lima lokasi aktiviti air yang wajib anda lakukan apabila berkunjung ke Pulau Mahsuri ini.

1. Ayer Hangat Village Langkawi

Ayer Hangat merupakan sebuah tarikan telaga air panas tiga tingkat. Ia bukan seperti air panas biasa, tapi air panas bergaram yang dikatakan satu fenomena alam yang jarang berlaku dan hanya boleh didapati di 3 buah negara lain di seluruh pelusuk dunia.

Dipercayai mempunyai pelbagai kelebihan, anda boleh berendam di dalam air panas ini adalah kerana kandungan mineral yang dimilikinya yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit sendi, kulit dan sebagainya.

2. Air Terjun Temurun

Air Terjun Temurun yang terletak di Datai Bay merupakan air terjun 3 tingkat yang tertinggi di Langkawi.

Dari tempat meletak kereta di laluan utama, kawasan air terjun ini dapat diakses dalam hanya 5 minit berjalan kaki.

Batuan yang terdapat di kawasan air terjun ini dikatakan telah berusia mencecah 500 juta tahun.

Namun, Air Terjun Temurun adalah sebuah tarikan yang mengikut musim yang mana anda dapat menikmati curahan air yang banyak hanya ketika musim hujan iaitu dari bulan September hingga Oktober.

3. Pulau Payar Marine Park

Pulau Payar Marine Park adalah sebuah pulau yang tidak berpenghuni dan ia menjadi destinasi tarikan pelancong yang datang dari serata dunia untuk aktiviti jungle trekking, memerhati burung, menyelam skuba dan snorkeling.

Pulau ini cukup terkenal dengan hidupan marin kerana ia merupakan salah satu pulau yang termasuk di dalam Taman Marin yang mana aktiviti perikanan adalah dilarang sama sekali.

Selain ikan-ikan, hidupan eksotik lain juga dapat dinikmati keindahannya seperti batu-batu karang yang penuh warna-warni.

Bagi anda yang ingin menikmati keindahan pulau ini lebih daripada sehari, anda perlu mendapatkan kebenaran untuk berkhemah daripada pihak berkuasa.

4. Kilim Karst Geoforest Park

Kilim Karst Geoforest Park merupakan sebuah kawasan taman hutan yang berkeluasan lebih daripada 100 km persegi.

Anda boleh menikmati keindahan alam yang terdiri daripada pembentukan gua-gua indah, pantai yang memukau pandangan mata, kawasan paya bakau dan banyak lagi.

Antara lokasi yang menjadi tarikan di sini adalah Gua Kelawar, Gua Buaya, Rumah Terapung dan kawasan Eagle Feeding.

5. Tanjung Rhu

Tanjung Rhu adalah sebuah kawasan pantai yang tersenarai antara 100 pantai yang terindah di dunia oleh media antarabangsa, CNN.

Ia merupakan kawasan pantai yang lebih tenang dan privasi berbanding Pantai Cenang.

Malah, kecantikan kawasan pantai ini turut diserlahkan lagi dengan kewujudan bot-bot nelayan dan bot pelancong yang berlabuh di tepian pantai.

Walau bagaimanapun, pantai ini turut menjadi kawasan pantai persendirian yang mana hanya boleh dilawati oleh tetamu penginapan di sekitar kawasan.