Hiburan
"Tuhan Uji Saya Kerana Dia Rindukan Saya" - Ammar Titan Muhasabah Diri Selepas Digantung Tugas
Pengacara dan penyampai radio, Ammar Titan akui lebih positif menghadapi ujian Tuhan selepas tiga bulan digantung tugas gara-gara isu menghina bapa Watson Nyambek.
Ammar Titan atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 30, berkata meskipun sukar menghadapi dugaan yang diberikan, namun dia tetap cuba meneruskan kehidupannya seperti biasa.
"Selepas apa yang berlaku saya cuba muhasah diri untuk bertenang dan berfikiran positif.
"Lagipun saya ada rakan-rakan yang ramai memberikan sokongan moral tanpa henti.
"Saya percaya Tuhan tu bagi ujian kepada saya kerana Dia tahu saya mampu menggalasnya. Dia Maha Mengetahui.
"Mungkin juga Tuhan bagi ujian ini kepada saya kerana Dia rindukan saya, supaya saya lebih mengingatinya.
"Saya anggap ujian ini sebagai balasan atas dosa-dosa saya yang lampau sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Bercerita mengenai aktiviti hariannya, Ammar memberitahu dia kini masih mahu berehat dan menolak sebarang tawaran kerja buat sementara waktu sehingga kesnya selesai.
"Sekarang adalah masa untuk bertenang atau cooling period untuk saya.
"Saya ada menerima tawaran kerja tetapi saya buat keputusan untuk menolaknya dan tidak mahu ambil apa-apa kerana ia masa yang tidak sesuai untuk saya kembali di kaca TV.
"Jadi sekarang saya banyak uruskan isteri saya yang sedang hamil 4 bulan di rumah.
"Selain itu saya dalam proses untuk mengusahakan sebuah kafe kucing milik saya sendiri yang akan dibuka dalam penghujung tahun ini," katanya lagi.
Primeworks Studios Sdn Bhd menggantung khidmat Ammar dan enam kru penerbitan tanpa tempoh dinyatakan susulan isu mempersendakan nama ayah bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek menerusi program Sukan Tak Sentral pada 23 April lalu.
Must-Watch Video