Pelakon dan model Meerqeen mengakui membawa watak sebagai ‘kluster kayangan’ dalam filem televisyen (FTV) frontliner bukan semudah disangka.

Meerqeen berkata, mungkin ramai yang melabel ‘kluster kayangan’ mengada-ngada dan ‘demand’, namun sebaliknya bagi bekas finalis Hero Remaja 2020 ini.

“Sebelum ini pun memang kita nampak ‘kluster kayangan’ ini mendapat banyak ‘complain’ daripada doktor dan jururawat kerana sikap mereka.

“Itulah saya dalam Frontliner nanti, tetapi disebalik sikap negatif tersebut, ada sebab mengapa saya sebagai ‘kluster kayangan’ memberontak dan buat perangai.

“Oleh itu, saya sudah bersedia dikecam dan dibenci kerana watak dalam FTV itu nanti sebab memang saya nak layanan kelas A dilayan macam anak raja. Kalau ramai yang benci, maknanya saya berjaya!,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, Meerqeen bersyukur rezekinya selepas Hero Remaja tidak berhenti dan menerima banyak tawaran berlakon.

“Saya pernah dapat di dalam drama Satukan Rasa, arahan Hadith Omar terbitan Suhan Movies tapi mungkin rezeki tak berpihak kepada saya waktu itu sebab ada exam di kolej.

“Kemudian saya sertai Hero Remaja dan menerima tawaran berlakon di dalam FTV Kelaster terbitan D'Alphalegacy sebagai watak utama.

“Dengan produksi sama saya ditawarkan sebagai cameo dalam FTV ‘Frontliner’ arahan Ajiboy dan kedua-dua naskah ini bakal ditayangkan di saluran Astro First,” katanya teruja.

Frontliner adalah naskhah yang diilhamkan daripada kisah pengorbanan dan konflik dalaman wira barisan hadapan yang menjadi benteng utama membendung penularan wabak COVID-19.

Filem sentuhan penulis skrip, A'minahtul Marrdiah dan diarahkan Razif Ajiboy Rashid akan disiarkan melalui platform Astro First Eksklusif di saluran 480, Oktober ini.

Pelakon lain yang turut membintangi Frontliners adalah Azhan Rani, Wan Maimunah, Farah Ahmad, Achey, Ashraf Muslim dan Beto Kusyairy.

Dalam perkembangan lain Merqeen juga mendapat tawaran dari pengarah terkenal tanah air, Michael Ang sebagai watak utama menerusi drama bersiri 70 episod berjudul Takdir Kita yang bakal ditayangkan di saluran Astro Tiara tidak lama lagi.