Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Untuk Ada Lebih 3 Anak Dalam 5 Tahun Itu Tak Mungkin Berlaku" - Remy Ishak

Amri Hassan
20/08/2021 15:20 MYT
Pelakon tampan yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini, Remy Ishak menegaskan dia belum punyai sebarang perancangan menimang cahaya mata sepanjang tempoh dua tahun perkahwinan nanti.

Jelas Remy atau nama sebenarnya Zalimie Ishak, 39, dia mahu menstabilkan kehidupannya bersama pasangan terlebih dahulu sebelum melalui fasa bergelar ibu bapa.

"Dunia pun tak stabil lagi sekarang begitu juga ekonomi dan situasi politik negara. Sepanjang tempoh dua tahun akan datang kita rileks dulu, tak perlu nak memikirkan soal anak-anak. Tapi kalau Allah kurniakan, Alhamdulillah...

"Tapi untuk ada lebih daripada tiga orang anak dalam tempoh lima tahun, ia tak mungkin akan berlaku," katanya menerusi sesi sidang media maya pada Jumaat.

Sama juga seperti kerjayanya, Remy menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan tapi pada masa sama akan terus mengembangkan bidang lain terutamanya bisnes.

"Saya sudah memikirkan soal 10 tahun akan datang, memang ada plan. Saya tak akan hanya fokus kepada berlakon semata-mata.

"Dia (Ezza) ada bisnes dan saya pun ada bisnes. Saya tak jadikan lakonan 100 peratus punca pencarian saya dan akan buat sesuatu yang berbeza.

"Tapi dunia lakonan akan tetap ada dalam hidup, sama dengan dunia baharu saya iaitu perniagaan," tambahnya.

Remy pada Khamis secara eksklusif kepada Gempak TV memberitahu dirinya bakal melangsungkan perkahwinan dengan suri hatinya, Ezza Yusof pada 21 Ogos (Sabtu).

BACA: EKSKLUSIF: Remy Ishak Sahkan Nikah Sabtu Ini

BACA: Kahwin Waktu PKP, Remy Ishak Persiap Mental Jadi Suami

Majlis secara tertutup itu hanya akan dihadiri pasangan pengantin dan wali sahaja.

Difahamkan pasangan itu sepatutnya mengadakan majlis pernikahan pada Mei lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 majlis itu terpaksa dibatalkan.
#pelakon #Kahwin #Anak #Remy Ishak #Ezza Yusof #Usahawan #Perancangan
;