Papan iklan digital gergasi di pintu masuk pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kejayaan pertama filem Rompak yang diterbitkan dengan memanfaatkan teknologi baru NFT (Non-Fungible Token).

Disaksikan ribuan pengunjung, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Moshed Tech Sdn Bhd, Moshed Mohamad, sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di negara kita.

"Dalam erti kata mudah, NFT ini boleh difahami melalui situasi sebegini. Bayangkan ada sebuah karya seni digital yang mempunyai pesona dan tarikan tersendiri tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai.

"Tapi kita tahu, karya digital sebegitu mudah saja 'dicuri' sesiapa dengan kepesatan teknologi sekarang. Ada saja pihak yang sewenang-wenang 'merompak' tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperolehi.

"Jadi melalui penggunaan NFT itu, karya seni ini boleh dilindungi dan disifatkan sebagai aset yang ada nilai tersendiri," katanya ketika majlis tayangan perdana filem Rompak di Dadi Cinema, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem yang dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim dan Chubb E ini bakal menjadi karya filem pertama di Asia Tenggara yang memanfaatkan teknologi NFT.



Rompak diterbitkan secara bersama antara portal kewangan Intraday.my dengan syarikat produksi 4ward Pictures ini mengangkat tema isu penipuan dan ‘scam’ yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.

Filem Rompak akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun 2022.



Produksi filem Rompak terbitan Intraday.my menjadi yang pertama memanfaatkan NFT dengan utiliti khas kepada pemiliknya dan bukti pemilikan NFT ini disimpan di dalam rantaian blok, menjadikannya 'tidak boleh diubah', unik dan mempunyai nilai yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Tambah Moshed, NFT membolehkan pelbagai masalah berbangkit diselesaikan seperti isu royalti.

"Kita mahu mencetuskan revolusi baharu buat pengkarya seni untuk mempelbagaikan pendapatan daripada karya filem dihasilkan.

"NFT diperkenalkan juga untuk mendidik orang ramai sebagai 'financial market media' untuk melakukan benda yang diterima ramai. Kita mahu mendidik mereka yang menonton filem ini untuk sertai NFT.

"Kita mahu wujudkan komuniti ini dengan mengajar dan mendedahkan mereka fasal NFT sekitar tiga keempat bulan. Bukan sekadar 'melabur' beli NFT begitu saja, tapi kita mahu mereka memahami ilmu dan kepentingannya. Kita mulakan dengan projek filem ini sebagai mukadimah. Kita sasar 50,000 komuniti NFT ini di Malaysia dapat diraih dalam masa terpantas," katanya.

A post shared by Z I Z A N R A Z A K (@zizanrazak869)


Tambah Moshed, teknologi NFT menggabungkan banyak benda seperti sebuah pusat dagangan pasaran saham.

"Contohnya apabila membeli sesuatu benda dengan harga tertentu, pasti ada turun naik. Semua boleh berpakat tak mahu menjualnya dengan harga rendah.

"Makin lama, harga itu akan melambung naik. Kita juga akan memperkenalkan projek seterusnya yang menjadikan NFT sebagai utiliti.

"Sesiapa yang membeli Rompak secara NFT juga berpotensi untuk mendapat peluang membeli dengan harga murah untuk projek seterusnya," katanya.




Jualan unit-unit NFT untuk filem Rompak sejak dilancarkan pada sesi ‘private sale’ pada Januari lalu sehingga sekarang telah mencecah RM1 juta terkumpul.

Dengan kehadiran NFT ini, orang ramai berpeluang membeli NFT untuk filem tersebut dan boleh menikmati pelbagai kelebihan yang ditawarkan padanya.

Berdasarkan laman rasmi IntradayNFT, mereka menyatakan akan menawarkan sebanyak 20 peratus royalti kepada pemegang NFT dalam menawarkan kandungan eksklusif belakang tabir serta menerima kebolehan untuk mengundi siapakah pelakon untuk filem berikutnya pula.


Untuk rekod selebriti dan atlet terkenal antarabangsa seperti Justin Bieber, Eminem, Lionel Messi, Paris Hilton dan Snoop Dogg antara yang pernah mendominasi dunia NFT.

NFT dalam erti kata mudah adalah satu bentuk geran yang memberikan hak cipta terhadap aset secara digital. Ia kini juga luas digunakan untuk lukisan, muzik, animasi, GIF, video, kosmetik dalam permainan video, tiket konsert, keahlian kelab dan macam-macam lagi.

Malaysia sendiri turut mengorak langkah menjadikan NFT sebagai dagangan utama yang menyaksikan token digital sebegini membolehkan sesiapa saja menjual dan membeli hak milik aset digital.

Layari intradaynft.io untuk mendapatkan NFT filem Rompak.