Laman Utama
[VIDEO] Farra Ahmad 'Koyak' Nyanyi Lagu Sendiri, Pernah Putus Tunang Tahun Ini - "Lirik Kena Dengan Diri Sendiri"
Namanya mungkin masih hijau dalam industri muzik tanahair. Namun, dia punya cita-cita tinggi dan matlamat besar menjadi anak seni. Bagi dirinya, melangkahkan kaki ke bidang ini adalah untuk mempertaruhkan bakat dimiliki.
Farra Ahmad, 25, atau nama sebenarnya Siti Farah Najihah Ahmad Damanhuri bermula sebagai penyanyi empat tahun lalu. Kemudian, tahun lalu dia mencuba nasib menyertai pertandingan program realiti.
Biarpun nasib tidak menyebelahi Farra yang hanya bertahan hingga minggu kedua, rezeki buat dirinya apabila dilamar syarikat rakaman Nova Music untuk menjadi artis rakaman mereka. Dari situlah bermula ‘nyawa’ baharu Farra sebagai penyanyi.
Sebagai pengenalan bersama Nova Music, Farra yang berasal dari Ipoh, Perak diberi peluang merakamkan single “Manja” yang dilancarkan pada April 2021.
Risik Pada Hati lagu broken heart
Terbaharu, Farra sekali lagi diberi kepercayaan merakamkan single berjudul “Jauh Darimu” yang turut menjadi lagu tema atau ‘Original Sound Track’ (OST) untuk sebuah drama.
Menariknya, lagu ciptaan bersama oleh Rudy Nastia dan Hafiz Karim itu secara kebetulan ada kena mengena dengan kehidupan dilalui Farra yang mana ketika proses rakaman dibuat dia berada dalam fasa ‘broken heart’ selepas putus cinta dengan kekasih.
"Sebenarnya lirik lagu ini sangat dekat dengan apa saya lalui ketika itu kerana sendiri berada dalam situasi putus cinta. Pada malam proses rakaman, ketika dalam studio saya banyak ‘take break’ sebab nangis.
"Tajuk lagu pula Jauh Darimu, memang sangat kena dan membolehkan saya menghayati sepenuhnya lagu ini. Saya boleh ‘feel’ lagu ini. Ketika menyanyikan bahagian korus, saya menangis. Malah, setiap kali dengar lagu ini selepas siap dirakam saya rasa sebak.
"Sejujurnya, tak menyangka lagu ini boleh ada kaitan dengan situasi saya sekarang. Pada awalnya, komposer pun tak bercerita tentang lirik lagu ini dan saya pun tak pernah cakap apa yang saya lalui. Jadi, apabila kali pertama membaca lirik lagu yang diberikan, saya terkejut," katanya.
Farra Ahmad tak jadi bertunang
Menurut Farra, apa yang membuatkan dia berasa terkesan dengan lagu itu ialah apabila mengenangkan perjalanan kisah cinta dengan bekas kekasih di mana perancangan awal telah dibuat untuk bertunang tahun ini.
"Pendek kata, ketika proses rakaman dibuat hati tengah ‘koyak’. Lirik lagu ini menceritakan bagaimana si kekasih tidak menghargai pasangan yang sudah memberikan sepenuh komitmen dalam perhubungan. Jadi selepas tidak dihargai, dia cuba dan rela melepaskan. Dan situasi itulah juga yang saya sendiri lalui.
"Mereka yang berada di studio rakaman semua bertanya kenapa saya menangis. Saya pun bercerita apa yang berlaku dan mereka faham situasi saya.
"Saya dan bekas kekasih bercinta selama dua tahun, malah hampir bertunang tahun ni, tapi tak jadi. Sekarang ini, dia masih cuba nak mendekati, tapi saya fikir tidak perlulah lagi. Sebaiknya, biarlah kami menjalani kehidupan masing-masing. Itulah yang sebaiknya," katanya.
Farra Ahmad dah empat tahun menyanyi
Pastinya, Farra berharap lagu “Jauh Darimu” diterima baik peminat dan pencinta muzik tempatan sekali gus membolehkan peminat membuka mata akan bakat dimilikinya.
“Walaupun sudah mula menyanyi sejak empat tahun lalu tapi masih belum dikenali ramai, saya tak putus asa untuk terus mencuba. Setiap orang punya rezeki berbeza-beza. Walaupun lagu pertama tak menjadi siulan ramai, ia bukan penamat untuk saya.
“Menerusi lagu kedua ini, saya yakin orang akan lebih mengenali saya dan lagu ini. Harapan saya orang akan buka mata dan nampak saya dalam industri ini. Bagi saya, tidak ada istilah putus asa sebab minat menyanyi dah ada dalam diri sejak dari kecil lagi,” kataya.
Lagu “Jauh Darimu” kini sudah boleh distrim di semua platform muzik digital. Siaran perdana video muzik rasmi “Jauh Darimu” yang dirakam di Desaru, Johor Bahru akan berlangsung di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.
Must-Watch Video