Bergelar lelaki terkaya di dunia sudah pasti menyebabkan ramai orang mengandaikan Elon Musk menetap di rumah besar bernilai jutaan dolar, lengkap dengan fasiliti mewah.

Namun, sangkaan itu tidak benar sama sekali apabila Elon mendedahkan yang dia tidak pernah memiliki rumah. Bahkan, rumah yang didiaminya sekarang merupakan rumah sewa!

Hal tersebut berikutan penafian Elon terhadap laporan yang mendakwa dia memiliki sebuah rumah agam bernilai AS$12 juta (RM56 juta) di Austin, Texas, Amerika Syarikat.

Ternyata, menurut Elon, rumah tersebut merupakan kepunyaan rakan dan dia bertandang ke rumah tersebut hanya beberapa kali.

Pemilik Tesla itu berkata, dia kini menetap di rumah sewa yang terletak di Boca Chica, Texas. Bekas kekasihnya, Grimes sengaja memilih untuk tinggal di Boca Chica kerana berdekatan dengan pejabat SpaceX bagi memudahkannya urusan pekerjaan.

Berikut merupakan fakta mengenai rumah sewa Elon Musk yang mungkin hanya berstatus sewaan, tetapi cukup gah jika dibandingkan dengan rumah sewa lain.

Harga rumah sewa yang ‘murah’




Elon sebenarnya tinggal di sebuah kediaman sewa yang sederhana. Difahamkan, harga rumah berkenaan bernilai sekitar AS$50 ribu (RM 2330,000) sebulan. Harga ini sangat murah jika dibandingkan dengan jumlah kekayaan yang dimiliki oleh Elon sebagai antara orang terkaya di dunia.

Fasiliti yang lengkap dan canggih




Walaupun ringkas, rumah sewa tersebut mempunyai kemudahan yang lengkap untuk didiami. Ketika menduduki kediaman itu, Elon segera memasang seluruh bumbung rumah tiga bilik itu dengan panel solar berteknologi tinggi buatan Tesla. Elon juga memasang sambungan internet Starlink miliknya untuk memudahkan akses ke alam maya. Bukan sahaja canggih, pemilik Tesla itu turut melengkapkan rumah sewanya yang dibina pada 1971 dengan rumah permainan kanak-kanak berbentuk roket.

Jauh dari supermarket




Seperti yang dinyatakan, Elon sengaja menyewa rumah berkenaan kerana berdekatan dengan pejabat Starbase SpaceX miliknya. Rumah yang didiami Elon Musk hanya kira-kira 1 blok dari pejabat. Boca Chica hanyalah sebuah bandar kecil dengan akses minimum yang biasanya didiami oleh pesara. Malah, Elon perlu menempuh perjalanan sejauh 20 batu untuk sampai ke pasar raya dari tempat dia tinggal.

Tertutup dan privasi




Ketika menduduki rumah itu, Elon Musk melakukan beberapa pengubahsuaian seperti menanam pokok baharu dan mengapur dinding. Tidak lupa, Elon juga memasang pagar di sekeliling hartanahnya. Pagar tersebut bukanlah pagar biasa, ia kelihatan seperti pagar coklat setinggi lapan kaki yang dipasang di sekitar tanah seluas 1,580 kaki persegi. Jadi, bahagian dalam rumah Elon sangat bersifat peribadi sehingga hanya teres yang boleh dilihat dari jiran.

Kawalan keselamatan yang ketat




Walaupun kediamannya tidak mewah, namun, rumah jutawan itu masih dilengkapi dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat. Terdapat berpuluh-puluh kamera CCTV yang dipasang bukan sahaja di dalam rumah, tetapi juga dipasang tersembunyi di sekeliling rumah seperti di pokok palma. Berpuluh-puluh anggota keselamatan sentiasa berwaspada untuk menjaga kediaman Elon dan mengikuti pemilik Tesla pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Difahamkan pasukan keselamatannya juga tinggal di bangunan bersebelahan rumah Elon.

Sumber: DailyMail UK