Hiburan
Wany Hasrita Bakal Lebih Serius Dalam Bidang Lakonan
Penyanyi Wany Hasrita, 27, mendedahkan dia sudah bersedia untuk menceburi bidang lakonan dengan serius.
Kata Wany, dia tidak boleh fokus kepada satu bidang kerana perlu bersedia untuk apa saja kemungkinan pada masa depan.
"Sebelum ini, saya pernah tampil dalam sebuah telefilem tetapi peranan saya tidak besar. Sekarang, saya sudah bersedia untuk lebih serius bergelar pelakon.
"Selepas empat tahun dalam industri, saya lihat 2020 adalah tahun untuk saya menjenamakan semula Wany Hasrita.
"Lagipun dengan ujian COVID-19 yang menimpa seluruh dunia, saya tidak boleh berharap kepada bidang muzik semata-mata. Saya perlu mencuba cabang lain sebagai persediaan masa depan," katanya kepada Gempak.
Tambah pelantun lagu Canggung itu, dia masih menitikberatkan soal batasan ketika adegan bersama pelakon lelaki.
"Saya bukan cerewet tapi sangat menjaga sekecil-kecil perkara. Saya tak nak adegan atas katil kerana tidak mahu menjejaskan imej sebagai wanita bertudung.
"Namun, saya lihat sekarang ini ramai pengarah mula menitikberatkan soal batasan pelakon," katanya lagi.
Terbaru, Wany bakal muncul dalam program terbaru Nurflix, berjudul I See You bersama kawan baiknya, Amira Othman yang juga merupakan seorang penyanyi.