Penyanyi popular, Wany Hasrita masih mahu menumpukan lebih perhatian dalam kerjayanya sebagai penyanyi meskipun sudah mula menceburi bidang lakonan.

Menurut Wany, dia belum bersedia untuk melakonkan watak berat kerana merasakan dirinya masih belum cukup ilmu dalam dunia lakonan.

"Saya masih mahu tumpukan lebih perhatian dalam bidang nyanyian walaupun saya sudah mula berlakon.

"Saya masih belum cukup ilmu untuk melakonkan watak-watak berat buat masa ini, watak yang diberi dalam lakonan saya baru-baru ini agak ringan dan bersifat santai sahaja.

"Selain itu, saya juga harus pertimbangkan dari segi masa, jika komitmen masa terlalu panjang, saya juga tidak bersedia untuknya," kata Wany kepada Gempak.

Wany bakal muncul dalam sebuah telemovie Raya berjudul Cerita Raya Luar Biasa yang akan ditayangkan di saluran Astro pada musim perayaan ini.

Sedikit info mengenai Wany, penyanyi kelahiran Perak ini mula mencipta namanya di industri hiburan tempatan pada tahun 2016 dan terus aktif berkarya sehingga kini.