Penyanyi popular, Wany Hasrita merancang untuk menyambut lebaran secara sederhana tahun ini.

Menurut Wany, dia akan meraikan hari kemenangan itu bersama ibu tercinta di rumah baru miliknya sendiri.

"Untuk Raya tahun ini, Insya-Allah saya akan beraya secara sederhana bersama ibu dan kucing saya di rumah baru.

"Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki beraya di rumah baru, sebelum ini duduk rumah sewa sahaja," katanya.

Wany berkata demikian ketika ditemui di majlis kempen anti buli siber anjuran Himaya Premium Mask di Kuala Lumpur minggu lalu.

Tambah penyanyi lagu Belenggu Rindu ini, rumah baru itu belum siap sepenuhnya kerana masih ada kerja-kerja yang tertangguh.

"Rumah baru itu masih belum siap sepenuhnya, masih ada kerja-kerja yang belum selesai.

"Bagaimanapun, ia sudah boleh didiami, sudah boleh pakai dapur memasak, tempat nak makan, dan tengok TV pun sudah boleh.

"Saya mula berpindah ke rumah baru itu pada awal tahun lalu, Alhamdulillah, cukuplah seadanya," katanya menutup bicara.