Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann positif COVID-19 disahkan positif COVID-19.

Menurut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Choong Hann tidak mempunyai sebarang gejala dan ketika ini menjalani proses kuarantin kendiri berdasarkan protokol ditetapkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara.

Kenyataan itu juga menyatakan satu ujian calitan sudah dilakukan oleh 39 pemain dan jurulatih semalam dan keputusan diterima adalah negatif manakala Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara juga sudah menjalani proses sanitasi pada hari ini.

"Selepas perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan, pasukan badminton Malaysia dibenarkan untuk berangkat ke Bangkok, bagi saingan Jelajah BWF Asia seperti dirancang esok.

"Selepas tiba, pemain badminton Malaysia akan menjalani kuarantin sehingga 11 Januari seperti ditetapkan kejohanan. Mereka juga akan melakukan beberapa siri ujian calitan sebaik tiba, Hari keempat, hari kesembilan dan hari ke-18 dalam tempoh tiga hari sebelum pulang (ke tanahair).

"Menjelang final Siri Dunia BWF, ujian calitan selanjutnya akan dilakukan pada hari 22 dan hari 26 sebelum pulang. Untuk rekod, pemain Malaysia, jurulatih dan pegawai akan menjalani kira-kira lima ke tujuh ujian calitan.

"Pemain Malaysia akan kekal komited dan memberikan yang terbaik atas nama dan juga kebanggaan Jalur Gemilang. Selain itu, ia adalah harapan Choong Hann buat semua pemain selepas mereka berusaha gigih di ABM dan bersaing buat kali pertama di kejohanan pasca pandemik di Thailand.

"Kami semua di persatuan mendoakan Choong Hann cepat sembuh," kata kenyataan itu.

Sumber: Astro Awani