Siri animasi popular kanak-kanak Didi & Friends kini bukan sahaja popular di Malaysia malah Indonesia apabila versi Bahasa Indonesia untuk kartun tersebut meraih 1 juta langganan di saluran rasmi YouTube.

Digital Durian yang mengesahkan perkara tersebut berbangga apabila siri animasi popular kanak-kanak hasil usahasamanya dengan Astro itu mendapat permintaan yang menggalakkan di peringkat nusantara.

Menurut rekod mereka, lebih daripada 32 juta jam tontonan dicatatkan sejak pelancarannya pada April 2017.

Penerbit Didi & Friends, Che Yusaidi Che Yusoff berkata sejak wabak COVID-19 melanda, mereka melihat terdapat peningkatan dalam langganan di saluran YouTube Didi & Friends versi Bahasa Indonesia.

“Menurut kajian kami, saluran ini bukan sahaja telah menerima sambutan yang baik dari negara jiran, malah menarik minat ekspatriat warga Indonesia yang menetap di Malaysia juga.

“Kini, fanbase Didi & Friends di Indonesia merupakan pasaran antarabangsa terbesar bagi siri animasi ini, dan saya mewakili Digital Durian bersyukur kerana dapat mengakhiri tahun 2020 ini dengan pencapaian berskala global,” katanya.

Digital Durian berhasrat untuk menjadi jenama animasi kanak-kanak Top 10 di dunia di YouTube, dan akan meneruskan semangat jitunya dalam penciptaan kandungan yang terbaik bagi peminat-peminatnya di Indonesia dan di seluruh dunia.

Selain daripada usaha-usaha pengedaran secara penyiaran tempatan dan di Indonesia, Didi & Friends juga boleh didapati dalam lima bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Thai, Sepanyol, Portugis dan Hindi.

Siri animasi Didi & Friends bersiaran di Astro Ceria setiap Isnin, jam 11 pagi. Kesemua episod Didi & Friends boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO.

Untuk maklumat lanjut mengenai Didi & Friends, layari www.didiandfriends.com.