HIBURAN
Yassin Senario Buka Mulut Isu Ditahan Di Arab Saudi, Kes Bukan Libatkan Dadah - “Kastam Nampak Sesuatu & Arahkan…”
Pelawak Yassin akhirnya membuka mulut mengenai kisahnya ditahan di Jeddah, Arab Saudi pada enam bulan lalu.
Bukan libatkan dadah
Berlaku salah faham melibatkan pihak berkuasa negara terbabit, Yassin bagaimanapun menyangkal dakwaan dia ditahan disebabkan penyalahgunaan dadah.
ARTIKEL BERKAITAN: "Bukan Menghilang, Saya Bercuti" - Yassin Senario Muncul Dalam Live TikTok, Balik Sebelum Aidiladha
ARTIKEL BERKAITAN: Saiful Apek Tak Sabar Tunggu Kepulangan Yassin, Mahu Segala Spekulasi Berakhir - “Lebih Afdal Sekiranya Tuan Badan Sendiri Yang Bercerita”
ARTIKEL BERKAITAN: "Dengarnya Dah Hafal 20 Juzuk Al-Quran, Berat Badan Bertambah" - Saiful Apek Update Perkembangan Semasa Yassin, Bakal Pulang Sebelum Aidilfitri
“Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana nak merokok di sana. Jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’ dan sekotak rokok di lapangan terbang.
“Sampai di Jeddah, beg saya diimbas ketika transit ke Madinah. Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg.
“Dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang marijuana dan mencurigakan, terus mereka selongkar semua," katanya.
Pelawak berusia 47 tahun itu mendedahkan perkara tersebut menerusi temu bual di Darkcast yang dimuat naik di saluran YouTube pada malam Isnin.
Mimpi ngeri
Menurut Yassin, perasaan gembiranya yang dapat menunaikan umrah bersama 24 rakan artis veteran lain bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ia berakhir di lokap khas tahanan dadah.
“Selepas soal siasat, saya ingat nak dilepaskan, tapi saya digari dan dibawa naik kenderaan polis ke balai di Jeddah. Beg dan telefon diambil. Saya dimasukkan ke sel tahanan untuk kes dadah.
“Saya tak tahu apa salah saya. Kalau lambang pada barang boleh jadi isu, patutnya saya dah ditahan sejak di Malaysia. Saya cuma berserah dan zikir dalam hati, minta Allah tolong,” jelasnya.
Kursus umrah
Dalam pada itu, ahli kumpulan Senario ini juga mengakui kesilapannya tidak mengikuti kursus umrah sehingga membawa peralatan yang tidak sepatutnya.
"Saya tak sempat pergi kursus. Saya belajar guna YouTube saja dalam masa singkat.
"Saya tak tahu peralatan apa yang tak boleh bawa sebab tiada rujukan kerana saya tak pergi kursus apa semua. Di situlah kesilapan saya kerana terlepas pandang," luahnya.
Sejak akhir tahun lalu, ketiadaan Yassin dalam program melibatkan Senario sering menjadi tanda tanya peminat.
Apatah lagi sebelum ini media melaporkan penangkapan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.
Ramai mengaitkan pelawak ditahan itu adalah Yassin namun anggota Senario sendiri memilih mengunci mulut mengenai berita itu.
Pelawak tersebut dilaporkan perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada April lalu.
Must-Watch Video