Bukan senang untuk membawakan watak seorang remaja bawah umur yang ‘rosak’ akibat kerakusan manusia lain, lebih-lebih lagi jika watak tersebut merupakan watak pertama seumpamanya yang pernah dimainkan di layar kaca.

Begitulah yang dialami oleh Yuyun Hikmah yang menggalas tanggungjawab untuk membawakan watak seorang gadis bawah umur yang hamil bernama Sue menerusi drama bersiri terbaharu berjudul I-Tanggang.

Menurut Yuyun, 16, membawakan watak Syuhada merupakan satu cabaran yang sangat besar sepanjang kariernya dia bergelar pelakon.

A post shared by YUYUN Hikmah - I'm 16 (@yuyunhkmah)


“Memang susah untuk membawakan watak Sue dalam I-Tanggang. Hal ini kerana, saya sendiri masih remaja dan perlu membawakan watak yang berat. Selain itu, saya tidak pernah bawa watak seperti ini.

“Sungguhpun begitu, saya berasa agak berasa senang kerana watak ini mampu memberikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak jadi macam Syuhada,” katanya kepada Gempak.

Menurut Yuyun, sepanjang membawakan watak Syuhada, dia berasa sedikit trauma dengan karakter yang harus dilakonkannya di hadapan kamera.

“Memang ada sedikit trauma ketika membawakan watak Syuhada. Saya berasa tertekan bukan sebab persekitaran tetapi kerana watak itu sendiri. Tetapi alhamdulillah, selepas tamat penggambaran, rasa tertekan itu hilang dan ia tidak meninggalkan kesan pada rutin harian saya,” katanya lagi.

Ditanya adakah benar tentang teori-teori penonton tentang siapakah lelaki yang bertanggungjawab terhadap kehamilan Syuhada, Yuyun menjawab: “Saya ada baca teori-teori ini. Kebanyakan yang saya baca, semuanya salah. Kalau nak tahu kena tengok sampai habis,” katanya.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!