Sekilas
- Filem komedi Indonesia Agak Laen 2: Menyala Pantiku! tampil dengan sinematografi kemas dan naratif tersusun, penuh dengan aksi mencuit hati.
- Filem ini mengisahkan empat detektif yang menyamar di rumah jagaan orang tua untuk menyelesaikan kes pembunuhan anak datuk bandar.
- Gabungan humor spontan dan elemen emosi menjadikan filem ini hiburan yang matang dengan mesej persahabatan dan kekeluargaan.
Filem komedi Indonesia Agak Laen 2: Menyala Pantiku! kembali menggegarkan pawagam dengan pendekatan yang lebih segar berbanding filem pertamanya yang ditayangkan pada 4 Disember 2025.
Kali ini, penonton disajikan sinematografi yang lebih kemas, naratif yang tersusun serta selingan aksi mencuit hati menjadikan filem ini sarat tawa dari mula hingga akhir.
Filem ini menawarkan gabungan hiburan, ketegangan dan elemen misteri, sambil menyampaikan mesej persahabatan serta kekeluargaan yang lebih mendalam.
Berdurasi hampir dua jam, filem ini mengisahkan empat detektif iaitu Bene, Boris, Jegel dan Oki yang terdesak menyelamatkan kerjaya mereka atas reputasi yang kurang baik dalam tugasan lepas.
Dalam tugasan ini, mereka perlu menyamar di sebuah rumah jagaan orang tua untuk mengesan pelarian yang disyaki terlibat dalam pembunuhan anak datuk bandar.
Keserasian watak dan humor spontan mereka telah menghidupkan naskhah ini, malah menyuntik elemen emosi yang meninggalkan kesan tersendiri.
Secara keseluruhan, Agak Laen 2: Menyala Pantiku! berjaya membawa komedi ke tahap lebih matang, diperkukuh dengan gandingan empat sahabat yang kekal menjadi nadi hiburannya.