Sekilas
- Astro Malaysia Holdings Bhd dinobatkan sebagai Best Performing Company dalam sektor Media & Telekomunikasi menerusi anugerah The Edge Malaysia ESG 2026, mengekalkan kedudukan sebagai peneraju ESG untuk dua tahun berturut-turut.
- Astro melaksanakan pelbagai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus termasuk pengurangan penggunaan tenaga dan air, penghasilan lebih 12,000 jam kandungan Voice for Good, serta kerjasama dengan NGO untuk pendidikan dan advokasi alam sekitar.
- Astro AWANI kekal sebagai jenama paling dipercayai untuk tahun kesembilan berturut-turut dan Astro menggunakan teknologi AI serta kerjasama antarabangsa untuk memerangi cetak rompak dan memastikan keselamatan digital.
Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) sekali lagi menerima pengiktirafan dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) apabila dinobatkan sebagai Best Performing Company dalam sektor Media & Telekomunikasi menerusi anugerah The Edge Malaysia ESG 2026.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Astro mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju ESG dalam sektor berkenaan untuk dua tahun berturut-turut selepas menerima Gold Award di anugerah The Edge Malaysia ESG 2025.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Kawal Selia & Korporat Astro, Laila Saat berkata pengiktirafan tersebut amat bermakna buat Astro, malah menjadi pendorong utama dalam menghasilkan impak positif terhadap rakyat Malaysia.
“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini, namun bagi kami, ESG adalah lebih daripada sekadar mencapai sasaran. Sebagai sebuah syarikat media dan kandungan, kami mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan capaian dan pengaruh kami secara positif.
“Sepanjang tahun lalu, kami menghasilkan lebih 12,000 jam kandungan Voice for Good, selain terus memberi tumpuan kepada keselamatan digital, keterangkuman, media yang bertanggungjawab, perlindungan harta intelek dan menyokong ekosistem kreatif Malaysia.
“Justeru, kami melihat anugerah ini bukan sebagai titik akhir, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab untuk melakukan lebih banyak lagi dan mencipta impak yang bermakna serta berkekalan untuk Malaysia,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,Datuk Sri Arthur Joseph Kurup yang menyampaikan ucapan pada acara tersebut.
The Edge Malaysia ESG 2026 dianjurkan bagi mengiktiraf syarikat tersenarai awam (PLC) serta firma pengurusan aset yang menunjukkan prestasi dan kepimpinan kukuh dalam amalan ESG.
Bagi edisi 2026, anugerah tersebut merangkumi dua kategori utama iaitu Syarikat Tersenarai Awam (PLCs) dan Dana (Funds) dengan 36 pemenang daripada 14 sektor berbeza.
Pengiktirafan terbaharu itu hadir ketika Astro terus mengekalkan prestasi ESG yang kukuh di peringkat global.
Berdasarkan penilaian FTSE4Good Bursa Malaysia Index bagi Disember 2025 oleh penyedia indeks global FTSE Russell, Astro mengekalkan skor ESG sebanyak 4.1 daripada 5, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 1 peratus teratas syarikat media di seluruh dunia dengan kedudukan persentil ke-100.
Pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan Astro dalam mengintegrasikan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, telus dan mampan. Malah, Astro merupakan antara entiti pengasas FTSE4Good Bursa Malaysia Index
Dalam aspek alam sekitar, Astro melaksanakan ‘Climate Roadmap’ yang menggariskan strategi penyahkarbonan secara berperingkat.
Strategi itu kini memberi tumpuan kepada pelepasan Skop 1 dan Skop 2, termasuk sasaran pengurangan yang jelas, selain persediaan berterusan bagi menilai pelepasan Skop 3.
Sepanjang FY26, Astro mencatatkan:
Pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 8 peratus berbanding garis dasar FY22.
Pengurangan jumlah penggunaan air sebanyak 24 peratus berbanding garis dasar FY22.
Astro juga terus bekerjasama dengan rakan strategik termasuk WWF-Malaysia, Taman Tugu Malaysia, UN Global Compact Malaysia, Brunei & Cambodia (UNGCMBC), PINTAR Foundation dan Green Growth Asia Foundation (GGAF) bagi memperkukuh usaha advokasi alam sekitar.
Sementara itu, menerusi aspek sosial, Astro menggunakan platform media dan kandungannya bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai isu penting dalam masyarakat.
Sepanjang 2026, Astro menyiarkan lebih 12,000 jam kandungan Voice for Good merangkumi pengumuman khidmat awam (PSA) serta kandungan berkaitan ESG.
Astro turut mengangkat isu seperti pemerkasaan wanita menerusi Aadhira dan Mandul Bukan Pilihan, selain kesedaran mengenai kesihatan mental menerusi Good Boys Go To Heaven.
Usaha memperluaskan akses kepada kandungan turut diteruskan menerusi kerjasama dengan Malaysian Association of the Blind (MAB) termasuk integrasi kandungan seperti Didi & Friends dan Meet Your Idol.
Astro juga meneruskan komitmen menghasilkan buku audio untuk kanak-kanak buta dan mempunyai masalah penglihatan menerusi kempen One Voice, One Book, One Nation.
Dalam bidang pendidikan, Astro bekerjasama dengan NGO seperti Teach for Malaysia (TFM) bagi menyokong kesaksamaan pendidikan di Malaysia.
Komitmen Astro terhadap pembangunan golongan muda turut diteruskan melalui inisiatif Education Through Sports.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Astro Kem Badminton, Klinik Sepak Takraw League (Klinik STL) dan Klinik Netball Super League (Klinik NSL) yang melibatkan lebih 4,000 pelajar sepanjang 2025.
Pasukan Astro juga berjaya melepasi sasaran 20,000 jam kesukarelawanan pekerja yang ditetapkan untuk tempoh tiga tahun menerusi pelbagai aktiviti, termasuk bantuan banjir, penanaman pokok dan aktiviti kemasyarakatan.
Bagi aspek tadbir urus, Astro turut memberi tumpuan kepada keselamatan siber, privasi data, integriti dan ketelusan cukai, kepelbagaian serta keterangkuman, selain keselamatan tempat kerja.
Dalam perkembangan lain, Astro AWANI pula mencatat satu lagi pencapaian apabila dinobatkan sebagai jenama paling dipercayai untuk tahun kesembilan berturut-turut pada 2026.
Astro turut dilantik ke dalam National Critical Information Infrastructure (NCII) yang menekankan tanggungjawab syarikat dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan maklumat, komunikasi dan digital yang penting.
Dalam memerangi cetak rompak, Astro menggunakan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan, memantau dan menghapuskan kandungan cetak rompak.
Usaha itu turut melibatkan tindakan terhadap penyenaraian e-dagang bagi peranti penstriman haram serta perkhidmatan penstriman tidak sah.
Astro juga menyertai Alliance for Creativity and Entertainment (ACE) gabungan antipirasi global yang menghimpunkan lebih 50 syarikat media, bagi memperkukuh kerjasama penguatkuasaan merentas sempadan.