Skip to main content

Selebriti

Bayangan Jadi Kenyataan, Ibu Ramlah Ram Meninggal Dunia - "Dia Ada Bagi 'Hint'..."

Ramlah ram ibu

Penyanyi Ramlah Ram, 60, tidak menyangka bayangan diberi ibunda tercinta, Allahyarham Ne Madon, 84, yang dirinya bakal 'pergi' menjadi kenyataan apabila ratu hatinya itu menghembuskan nafas terakhir, dalam tidur, pada jam 9.38 pagi, Ahad lalu.

Ramlah berkata, ibunya baru keluar hospital selepas lebih seminggu menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Merlimau, Melaka.

Tambahnya, ibunya berada dalam keadaan baik dan stabil selepas pulang, lantas, pemergiannya sangat mengejutkan mereka sekeluarga.

"Biasanya arwah pagi-pagi sudah bangun. Ketika abang cuba mengejutkan emak untuk sarapan pagi, abang dapati emak sudah tiada. Arwah menghidap penyakit yang biasanya dialami warga emas. Namun, penyakit emak dalam keadan terkawal.

"Ketika emak pergi, saya berada di Kuala Lumpur. Mujur saya tiada sebarang undangan persembahan di mana-mana. Jadi, sebaik dapat berita pemergian emak, saya terus bergegas ke rumah abang di Melaka.

"Sebenarnya, ketika emak dirawat di hospital, emak ada bagi 'hint'. Emak kata dia hendak pergi, mungkin emak dapat merasakan yang dia akan pergi.

"Tetapi, saya pegang dahi emak. Saya kata, emak jangan cakap macam itu. Tidak sangka rupa-rupanya memang emak sudah nak pergi. Saya sedih sangat tetapi reda dengan pemergiannya," katanya kepada BH Online.

Ramlah berkata, biarpun sedih dengan pemergian bonda tercinta, namun ,dia bersyukur pengakhiran ibunya dipermudahkan.

Tambahnya, insan tersayang itu pergi dalam keadaan tenang, wajahnya bersih dan seakan-akan tersenyum.

"Saya bersyukur pengakhiran emak dipermudahkan. Emak pergi dalam keadaan yang tenang dan pada bulan mulia. Semua adik beradik saya dapat solatkan emak. Jenazah emak juga diimamkan adik saya sendiri," katanya.

Jenazah Allahyarham Ne selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ayer Tawar, Merlimau, Melaka, selepas solat Zohor, Ahad lalu.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement