Sekilas
- Seorang wanita di Minnesota, Cyrena Anne Quast, ditahan kerana mencuri bateri bernilai kira-kira RM2,400 dan fotonya menjadi tular kerana wajahnya dikatakan mirip Jennifer Lopez.
- Foto tahanan Quast mendapat perhatian netizen yang membuat pelbagai gurauan termasuk memberi jolokan ‘Jenny from D-Block’ berdasarkan lagu popular J.Lo.
- Quast dibebaskan sehari selepas penahanan dan mempunyai rekod kesalahan sebelum ini seperti pemilikan dadah dan kecurian.
Seorang wanita di Minnesota, Amerika Syarikat mencuri perhatian ramai selepas foto tahanannya atau ‘mugshot’ tular kerana wajahnya dikatakan mirip penyanyi dan aktres terkenal, Jennifer Lopez.
Wanita dikenali sebagai Cyrena Anne Quast, 35, ditahan pada 30 Ogos lalu di Monticello, Minnesota selepas didakwa mencuri dua bungkusan bateri untuk peralatan berkuasa elektrik bernilai kira-kira AS$580 (sekitar RM2,400).
Menurut laporan The Watch MN yang dipetik Wolipop, seorang pekerja kedai mengenali Quast kerana dia didakwa pernah terbabit dalam kejadian kecurian di premis sama dua hari sebelumnya.
Polis kemudian dipanggil ke lokasi dan Quast dilaporkan mengaku mengambil bateri berkenaan.
Namun, kes tersebut mendapat perhatian atas sebab berbeza selepas Wright County Sheriff's Office mengeluarkan foto tahanannya.
Netizen ingat J.Lo
Wajah Quast dalam foto berkenaan pantas menjadi bualan apabila ramai pengguna media sosial berpendapat dia mempunyai persamaan dengan Jennifer Lopez.
Malah, ada yang mengaku pada mulanya menyangka wanita dalam foto tersebut benar-benar bintang yang popular dengan panggilan J.Lo.
Persamaan itu turut mencetuskan pelbagai gurauan dalam kalangan netizen dengan lagu popular Jennifer, ‘Jenny from the Block’ turut menjadi bahan usikan.
Quast kemudian diberikan jolokan ‘Jenny from D-Block’, permainan kata daripada judul lagu tersebut, selepas foto tahanannya dikongsi semula di pelbagai platform media sosial.
Dibebaskan sehari kemudian
Quast dilaporkan dibebaskan sehari selepas penahanannya.
Menurut sumber sama, rekod penangkapan awam menunjukkan wanita itu pernah berdepan beberapa tuduhan lain sebelum ini termasuk berkaitan pemilikan dadah, memandu dalam keadaan mabuk, melarikan diri daripada polis, kecurian serta memberikan identiti palsu.
Bagaimanapun, perhatian netizen kali ini lebih terarah kepada foto tahanannya yang dikatakan mempunyai persamaan dengan Jennifer sehingga kisah tersebut tular di media sosial.
Sumber: NYPost