Sekilas
- Pelawak Amir Raja Lawak kini menunjukkan perkembangan positif selepas rawatan di ICU dan sudah tidak memerlukan bantuan oksigen.
- Amir masih mengalami kesukaran berjalan dan bercakap lama kerana sesak nafas serta perlu menjalani latihan fisioterapi untuk pemulihan.
- Amir berkongsi pengalaman tapak kaki terasa seperti dicucuk jarum selepas lama terlantar dan sedang berusaha pulih secara berperingkat.
Pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menerusi hantaran di Facebook, Amir memaklumkan dia sudah tidak lagi memerlukan bantuan oksigen, namun masih belum mampu berjalan atau bercakap dalam tempoh yang lama kerana mudah mengalami sesak nafas.
“Alhamdulillah. Dah tak pakai oksigen, cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi ni. Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas.
“Dekat dahi dengan hidung tu kesan pakai BIPAP Machine masa kat ICU. Katanya saya kena sental dengan Vaseline nanti, untuk bagi clean dan nampak natural balik.
“Baiklah, dengan ini kita sekarang dah boleh start bergurau, bahan-membahan balik dekat media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat reply semua macam dahulu,” kongsinya.
Dalam pada itu, menerusi satu lagi hantaran, Amir berkongsi pengalaman selepas lebih dua minggu terlantar di atas katil.
Kata Amir, keadaan itu menyebabkan tapak kakinya terasa seperti dicucuk jarum apabila mula berdiri dan berjalan semula.
Bagaimanapun Amir memaklumkan dia masih dalam proses pemulihan selain perlu menjalani latihan fisioterapi bagi membantu mengembalikan kekuatan fizikal serta fungsi paru-parunya.
“Dua minggu lebih duduk atas katil, lama tak berpijak di bumi yang nyata.
“Ingatkan rasa macam lembik lutut atau kebas-kebas bila bangun, berdiri, tapi dia rasa mencucuk-cucuk tapak kaki macam ada jarum ya.
“Apa pun fisio sangat perlu, latihan sedut bola itu pun bagus bagi paru-paru berkembang elok supaya dapat kembali sedutan nafas normal macam sebelum ini,” maklumnya.
Terdahulu, adik Amir memaklumkan abangnya masih dirawat di ICU selepas 11 hari berada di unit berkenaan.
Perkembangan itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook yang memaklumkan Amir kini sedang berehat bagi memulihkan kesihatannya.