Sekilas
- Seorang lelaki di Jawa Barat membunuh ibu kandungnya selepas berang dikejutkan untuk solat Subuh dan mencampakkan mayat ke dalam perigi.
- Suspek berjaya ditangkap di rumah isterinya dan polis masih menyiasat sama ada dia mengalami masalah kesihatan mental.
- Keluarga mendakwa suspek sudah lama menunjukkan tanda kemurungan dan pernah melakukan kekerasan terhadap ibunya sebelum ini.
Seorang lelaki tergamak membunuh ibu kandungnya berusia 77 tahun selepas berang dikejutkan untuk menunaikan solat Subuh sebelum mencampakkan mayat mangsa ke dalam perigi.
Kejadian berlaku di Dusun Puhun, Desa Wanasaraya, Kuningan, Jawa Barat dengan mayat mangsa dikenali sebagai Mak Rusti ditemukan pada kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan pada Sabtu lalu.
Penemuan itu terbongkar selepas seorang saksi melihat kesan darah dari arah dapur yang menghala ke perigi.
Ketua Polis Kuningan, AKBP Bellen Anggara Pratama berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berang apabila ibunya mengejutkannya untuk menunaikan solat Subuh.
“Suspek berasa marah apabila mangsa yang juga ibunya mengejutkannya untuk solat Subuh.
“Suspek yang beremosi kemudian terus menyerang mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya pada Isnin.
Selepas membunuh ibunya, suspek dipercayai mencampakkan mayat mangsa ke dalam perigi bersebelahan rumah sebelum melarikan diri.
Suspek kemudian berjaya diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuningan di rumah isterinya di Kabupaten Brebes tanpa sebarang perlawanan.
Dalam pada itu, polis masih menyiasat dakwaan bahawa suspek mengalami masalah kesihatan mental dan belum membuat sebarang kesimpulan mengenainya selain mengenal pasti objek yang digunakan suspek.
“Kami belum dapat memberikan kenyataan pasti sama ada benar suspek mengalami kemurungan atau terdapat faktor lain kerana proses siasatan masih berjalan,” kata Bellen.
Menantu mangsa, Kurnia, 36, mendakwa suspek sudah lama menunjukkan tanda kemurungan dan keadaan mentalnya semakin merosot akibat tekanan sosial serta ejekan masyarakat sekeliling.
Menurutnya, keluarga sebelum ini pernah mendapatkan rawatan untuk suspek di Tasikmalaya dan Jawa Tengah.
Kurnia turut mendakwa suspek pernah melakukan kekerasan terhadap ibunya sebanyak tiga kali pada waktu berbeza sebelum kejadian terbaharu.
Bagaimanapun, polis menegaskan siasatan masih dijalankan bagi menentukan keadaan sebenar suspek dan motif kejadian.
Sumber: Sinar Harian