Skip to main content

Berita

Global Sumud Flotilla Makin Dekat, Dijangka Tiba Dalam Empat Hingga Tujuh Hari - “Akan Masuk Zon Berisiko…”

Global Sumud Flotilla Makin Dekat, Dijangka Tiba Dalam Empat Hingga Tujuh Hari

Flotilla bantuan menuju Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan penganjur pada Sabtu.

Global Sumud Flotilla memaklumkan kapal-kapalnya telah menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

Advertisement

"Dalam masa dua hari, flotilla akan memasuki zon berisiko tinggi, ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,”jelasnya.

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza pada Sabtu mendedahkan bahawa satu lagi flotilla terdiri daripada 10 kapal awam telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.

Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Global Sumud Flotilla, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing.

Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel.

Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai rekod memintas kapal-kapal menuju Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis.

Pengkritik menyifatkan tindakan itu sebagai lanun laut. 

Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement