Sekilas
- Seorang guru ngaji berusia 32 tahun di Kabupaten Buton, Sulawesi Tenggara, Indonesia ditangkap kerana mencabul sembilan pelajar perempuan sekolah pondok antara Februari hingga Mei 2025.
- Perbuatan keji itu dilakukan melalui dua cara, termasuk mengajak mangsa menaiki motosikal dan bermain permainan meneka barang sambil menutup mata selepas waktu mengaji.
- Suspek ditangkap pada 19 Ogos selepas laporan dibuat oleh ibu bapa mangsa, dan berdepan hukuman penjara sehingga sembilan tahun.
Perbuatan keji seorang guru ngaji mencabul sembilan pelajar perempuan yang sedang mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Kabupaten Buton, Sulawesi Tenggara, Indonesia berakhir apabila ditangkap.
Ironi, guru mengaji berusia 32 tahun itu telah melakukan aksi keji tersebut kepada lapan pelajar sekolah rendah dan seorang di tingkatan satu sekitar bulan Februari sehingga Mei 2025.
Suspek yang digelar FS itu bagaimanapun baru ditangkap pada 19 Ogos lalu selepas ibu bapa mangsa membuat laporan setelah menerima aduan daripada anak mereka.
Polis juga diketahui menangkap suspek kerana bimbang penduduk kampung melakukan ‘penghakiman’ sendiri terhadapnya.
Menurut keterangan yang diberikan pihak berkuasa, suspek telah melakukan perbuatan keji terhadap sembilan pelajar perempuan itu melalui dua ‘operasi’.
“Operasi atau cara pertama dilakukan sewaktu suspek mengajak mereka menaiki motosikal dan pada waktu itu dia melakukan aksi cabul.
“Sementara sebahagian murid pula dicabul selepas diajak bermain permainan meneka barang sambil menutup mata.
“Aksi keji itu dilakukan selepas habis waktu mengaji di surau. Mata mereka ditutup dan kemudian suspek memberikan ‘barang’ atau alat sulitnya dan satu lagi benda panjang untuk diteka sebelum mencabul mereka,” ujar pihak berkuasa seperti dilaporkan Kompas.
Akibat perbuatan keji tersebut, guru mengaji itu boleh dipenjarakan sehingga sembilan tahun.