Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan terhadap 'fasa pertama' pelan damai yang bakal menyaksikan pengunduran tentera Israel serta pembebasan tebusan dan tahanan.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Trump menyatakan kesemua tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat.
Tentera Israel pula akan berundur ke sempadan yang telah dipersetujui, sebagai langkah awal ke arah perdamaian yang tahan lama dan kekal.
Advertisement
Trump turut menegaskan bahawa semua pihak akan dilayan dengan adil.
Sementara itu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menyuarakan harapannya di media sosial.
“Semoga dengan pertolongan tuhan, kita akan membawa mereka semua pulang," ujarnya.
Pihak Hamas pula menyatakan bahawa perjanjian tersebut menjamin pengunduran tentera Israel serta membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
Ia juga merangkumi pertukaran tebusan dan tahanan.
Menurut sumber, Hamas merancang untuk membebaskan kesemua 20 tebusan yang masih hidup hujung minggu ini, manakala pihak tentera Israel dijangka memulakan pengunduran dari sebahagian besar wilayah Gaza.
Perjanjian ini dimeterai selepas rundingan selama beberapa hari di Mesir, berpusat kepada pelan damai yang disokong Trump.
Sebelum ini, Mesir, Qatar dan Turkiye bertindak sebagai mediator serta penjamin utama perjanjian itu, dengan penamatan perang secara menyeluruh turut dimasukkan sebagai antara syarat utama dalam dokumen perjanjian.
Pemerhati antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai detik penting ke arah mengakhiri penderitaan rakyat Palestin yang telah berlarutan.
Sumber: Sinar Harian