Skip to main content

Berita

Jari Budak Membengkok Akibat Dipaksa Siapkan Kerja Sekolah

Jari bengkok

Seorang budak lelaki berusia 11 tahun di Changsha, wilayah Hunan, dikejarkan ke hospital selepas mengalami kebas anggota badan dan jari membengkok seperti ‘cakar ayam’ atau ” (carpopedal spasm) akibat menyiapkan kerja sekolah cuti musim panas dalam masa sehari tanpa henti.

Liangliang dilapor mula menulis dari jam 8 pagi hingga 10 malam pada 26 Ogos lalu kerana tekanan daripada ibu bapanya untuk menyiapkan semua tugasan sebelum sekolah dibuka semula.

Advertisement

Menjelang jam 11 malam, dia mengalami pernafasan laju, pening, sakit kepala dan kebas pada tangan serta kaki sebelum segera dibawa ke hospital.

Doktor mengesahkan Liangliang mengalami hiperventilasi iaitu gangguan pernafasan apabila seseorang bernafas terlalu cepat dan dalam, biasanya akibat tekanan emosi.

Keadaan itu menyebabkan kekejangan otot hingga jarinya melentik seperti ‘tangan cakar’.

Menurut Hospital Pusat Changsha, jabatan kecemasan pediatrik mereka menerima lebih 30 remaja dengan simptom sama sepanjang Ogos, peningkatan sepuluh kali ganda berbanding bulan lain.

Pakar kanak-kanak, Dr Zhang Xiaofo berkata tekanan akademik melampau dan kegelisahan emosi menjadi pencetus utama dan kes serius boleh membawa maut.

Sebagai langkah kecemasan, pesakit perlu ditenangkan dan diminta bernafas ke dalam beg kertas atau plastik untuk menstabilkan kadar pernafasan.

Kes Liangliang tular di media sosial China, dengan netizen mengingatkan pentingnya pengurusan masa dan mengelakkan sikap menangguh kerja sekolah sehingga saat akhir.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement