Aktivis kemanusiaan, Farah Lee tampil bersuara selepas seorang individu mendakwa dirinya mengenakan harga mahal untuk sewaan rumah.
Farah menjelaskan bahawa apartmen tersebut bukan miliknya kerana rumah itu tidak dinamakan atas namanya, mahupun dihibahkan selepas dijadikan hantaran perkahwinan pertamanya.
"Unit apartment yang dinyatakan tersebut, telah diberikan sebagai hantaran kepada saya melalui perkahwinan pertama pada 2012. Namun, sehingga sekarang rumah tersebut tidak pernah ditukarkan kepada nama saya, mahupun dihibahkan, diwasiatkan atau ada sebarang hitam putih yang sah berkenaan pemberian. Secara logiknya, rumah berkenaan bukanlah milik saya," ujarnya.
Farah turut menasihati bahawa jika seseorang tidak mengetahui cerita sebenar, lebih baik mendiamkan diri supaya tidak merugikan diri sendiri atau orang lain.
"Kita ni kalau tak tahu hujung pangkal cerita orang, lebih baik diam dari cuba memandai-mandai sebabnya nanti akan terserlah bodoh kita, senang dapat dosa fitnah dan mungkin akan memudaratkan diri sendiri," tulisnya.
Katanya, dia sebelum ini cuba menyewakan unit tersebut, namun disebabkan terdapat maintenance fee tertunggak, ia tidak dapat disewakan sehingga kini.
"Saya cuba untuk menyewakan unit tersebut walaupun sepanjang perkahwinan saya tidak pernah mengambil apa-apa hak dari 'hantaran' itu, namun oleh kerana ada 'maintenance fee' tertunggak yang agak lama jadi saya tidak dapat menyewakannya sehingga sekarang," jelasnya.
Farah turut menuntut permohonan maaf terbuka daripada individu berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum dia mengambil tindakan undang-undang.
"Kepada pemilik hantaran ini dan pada yang meninggalkan komen, saya ada hak untuk tidak memaafkan kalian. Saya demand permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam atau doakan saya malas. Kalau saya rajin, saya akan failkan saman fitnah. Bersiap sedia," tambahnya.
Terdahulu, seorang pengguna di Facebook memuat naik kenyataan mengenai harga sewaan rumah Farah yang didakwa terlalu tinggi untuk rumah seluas 1,200 kaki persegi.
Individu berkenaan turut mendakwa Farah mengambil kesempatan daripada keuntungan tersebut.