Sekilas
- Nadhir Nasar terbuka menerima segala kritikan dan kecaman sebagai motivasi untuk memperbaiki lakonannya.
- Pelakon berusia 30 tahun ini menganggap komen membina penting untuk perkembangan diri dan kerjaya lakonannya.
- Dia memilih untuk fokus pada sokongan peminat yang setia dan tidak menjadikan kecaman sebagai isu besar.
Pelakon, Nadhir Nasar mengakui dirinya terbuka menerima segala kecaman dan kritikan mengenai kualiti lakonannya.
Menurut pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30 dia menggangap perkara tersebut sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki lakonannya.
“Alhamdulillah, pada saya kritikan mengenai lakonan semuanya komen yang membina. Saya perlukan itu untuk jadi yang lebih baik daripada hari ini.
“Saya baru 30 tahun, banyak lagi ilmu yang saya perlu cari. Sebagai pelakon yang baru berusia 30 tahun, saya harus membuka hati untuk menerima semua komen bagi memperbaiki diri sendiri,”katanya kepada Gempak.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan pelakon Pemuja Syaitan yang berlangsung di Hextar Empire World, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Nadhir turut berkata dia tidak boleh memuaskan hati semua orang, maka dia tidak pernah menjadikan kecaman sebagai sebuah isu yang besar.
Sebaliknya, dia hanya memberi tumpuan kepada mereka yang tidak pernah putus dalam memberi sokongan dan dorongan buat dirinya.
“Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Kalau semua orang suka kita, itu adalah satu masalah.
“Saya rasa lebih baik kita fokus kepada orang yang sokong kita daripada yang membenci,”ujarnya.