Sekilas
- Maria Tunku Sabri menafikan dakwaan pernah membuli krew ketika bekerja sebagai ketua pramugari dan menjelaskan sikapnya hanya tegas dalam menjalankan tanggungjawab.
- Isu ini timbul selepas perkongsian dalam podcast Zarul Umbrella yang menyebabkan netizen salah faham dan cuba memboikotnya.
- Maria berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan tanpa memahami konteks sebenar dan menggesa supaya tidak menyertai gerakan negatif di media sosial terhadapnya.
Bintang Kilauan Emas Selebriti (KES), Maria Tunku Sabri tampil menjelaskan isu gerakan segelintir pihak yang cuba memboikot dirinya selepas dia didakwa pernah membuli ketika bekerja sebagai pramugari suatu ketika dahulu.
Menurut Maria, perkara itu mungkin tercetus selepas netizen mendengar perkongsian penyanyi Zarul Umbrella menerusi podcastnya yang menyentuh mengenai dirinya.
Bagaimanapun, Maria menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan dia tidak pernah membuli krew di bawah jagaannya sebaliknya, dia hanya bersikap tegas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ketua pramugari.
“Saya rasa ia bermula di podcast Zarul Umbrella. Saya dulu bekas ketua pramugari. Saya bukan buli orang tetapi melaksanakan tanggungjawab saya sebagai ketua pramugari. Jangan salah tanggapan boleh tak? Saya mengajar krew yang baru dan menjaga krew.
“Bila naik flight, kalau ada sesuatu kemalangan berlaku sama ada kecil atau besar, saya yang akan bertanggungjawab. Saya sangat ambil serius kerja. Saya akan pastikan mereka tahu buat servis, first aid dan keselamatan. Jadi, sebab itu saya pastikan mereka ada pengetahuan tip top dan 100 peratus,” katanya kepada Gempak.
Maria berkata demikian ketika sidang media Kilauan Emas Selebriti (KES) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Sabtu lalu.
Menurut Maria, ketegasan itu hanya ditunjukkan ketika mereka sedang bekerja. Selepas tamat penerbangan, dia kembali menjadi rakan kepada krew yang lain.
“Netizen tak faham dan ingat saya pembuli. Saya tegas bab kerja. Namun, bila dah sampai destinasi, saya jadi geng dengan mereka dan ajak makan. Bila saya pakai uniform, saya ketua pramugari,” kongsinya.
Dalam pada itu, Maria meminta orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan cerita yang didengar tanpa memahami konteks sebenar.
Dia juga berharap orang ramai tidak lagi melabelnya sebagai pembuli atau menyertai gerakan untuk menyerangnya di media sosial.
“Jangan salah anggap, jangan salah tafsir terutama yang kata saya pembuli. Bila anda dengar kena marah dalam podcast sebenarnya sama sahaja di dunia luar. Misalnya, dalam industri ini pun saya kena marah dengan cikgu.
“Tak baik buat macam itu sebab mereka tak faham konteks. Kalau boleh jangan ada gerakan pembuli tak baik. Kamu buat sesuatu yang negatif. Cuba bayangkan kalau anda di tempat saya. Saya tak mahu ada situasi begitu.
“Jadilah manusia yang baik dan jangan bentuk komuniti yang tak sihat dengan ajak orang jadi keyboard warrior untuk serang saya. Saya merayu jadilah insan yang baik sahaja,” ujarnya.