Sekilas
- Kai Trump, cucu Presiden AS Donald Trump, berkongsi pengalaman emosionalnya meninggalkan rumah untuk belajar di University of Miami.
- Dia menghadapi cabaran menyesuaikan diri termasuk tidak makan selama tiga hari dan jadual padat sebagai ahli pasukan golf wanita universiti.
- Kai juga jatuh sakit akibat jangkitan bakteria strep dan terpaksa pulang ke Jupiter untuk mendapatkan penjagaan ibunya.
Cucu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Kai Trump mengakui melalui fasa cukup emosional ketika pertama kali meninggalkan rumah untuk memulakan kehidupan sebagai pelajar universiti.
Kai, 19, yang kini melanjutkan pengajian di University of Miami mendedahkan dia tidak menyangka perpisahan dengan keluarga dan insan terdekat memberi kesan begitu mendalam terhadap dirinya.
Menerusi vlog yang dikongsikan di YouTube, Kai dilihat tidak dapat menahan air mata ketika melalui hari-hari terakhir sebelum berpindah dari kediamannya di Jupiter, Florida ke Miami.
Malah, Kai yang mengakui bukan seorang yang mudah terbawa-bawa dengan perasaan sendiri terkejut apabila menangis teresak-esak.
“Saya betul-betul menangis teresak-esak. Rasa sangat sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada semua orang hari ini.
“Sebenarnya saya bukan seorang yang mudah terbawa-bawa dengan perasaan, jadi agak pelik apabila saya menangis seperti ini.
“Sekarang saya rasa sedikit tertekan apabila memikirkannya, tetapi dalam masa sama saya juga teruja,” katanya.
Keadaan emosinya ketika melalui proses perpindahan itu turut memberi kesan kepada rutin harian apabila Kai mendakwa tidak makan selama kira-kira tiga hari.

Selepas tiba di Miami, rakannya, Emma tampil membantu termasuk membelikan beberapa makanan untuknya.
“Emma belikan saya beberapa makanan sejuk beku sebab saya sudah tidak makan selama kira-kira tiga hari,” kongsinya.
Bagaimanapun, cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu tidak terhenti di situ.
Kai yang menyertai pasukan golf wanita universiti berkenaan turut berdepan jadual padat apabila rutin hariannya bermula seawal jam 7 pagi.
Keadaan itu membuatkannya berasa sangat letih ketika melalui minggu pertama sebagai pelajar universiti.
“Saya sangat penat. Kalau anda tengok muka saya pun mungkin boleh nampak,” katanya.
Lebih mencabar, Kai kemudian jatuh sakit selepas mengalami jangkitan bakteria strep pada minggu pertama pengajiannya.
Keadaannya ketika itu dikatakan agak teruk sehingga dia mengambil keputusan untuk pulang semula ke Jupiter bagi mendapatkan penjagaan ibunya.
“Saya jatuh sakit akibat jangkitan bakteria strep pada hari Rabu, ketika minggu pertama pengajian.
“Saya sengaja pulang semula ke Jupiter kerana keadaan saya sangat teruk. Saya perlukan ibu untuk menjaga saya sehingga sembuh,” katanya.
Untuk rekod, Kai merupakan anak kepada Donald Trump Jr. dan Vanessa Trump.
Selain aktif menghasilkan kandungan di media sosial, Kai turut dikenali dengan minatnya terhadap sukan golf dan kini menyertai pasukan golf wanita University of Miami.