Skip to main content

Selebriti

Mengaku Bersalah 'Promote' Vape, Shuib Didenda RM10,000

Shuib vape

Sekilas

  • Pelakon dan pelawak Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret kerana mempromosikan produk tembakau dua tahun lalu.
  • Shuib mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 melalui podcast di YouTube.
  • Mahkamah memerintahkan hukuman penjara satu tahun jika denda tidak dibayar.

Pelakon dan pelawak, Shuib didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret pada Rabu kerana mempromosikan produk tembakau, dua tahun lalu.

Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 42, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Ezrene Zakariah.

Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara selama satu tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mempromosikan produk merokok yang telah melanggar Seksyen 9(1) iaitu mengambil bahagian dalam apa-apa perkiraan yang mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

Ia dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang merokok atau dipromosikan sebagai suatu produk berhenti merokok.

Kesalahan didakwa dilakukan melalui pod cast pautan YouTube pada jam 4.26 petang, 22 Oktober 2024 yang telah dibaca oleh pihak Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, boleh di hukum di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta yang sama.

Jika disabitkan bagi kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Sumber: Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement