Penampilan unik sebuah keluarga yang tampil dengan pakaian berbeza namun masih berpaksikan tema serumpun nyata mencuri tumpuan ramai pada sambutan Keretapi Sarong kali ini.
Menurut lelaki yang hanya dikenali sebagai Azim, dia dan keluarganya tidak pernah melepaskan peluang menyertai acara itu setiap tahun, dan tahun ini merupakan penyertaan mereka yang kelima.
Advertisement
Antara gaya kreatif yang ditonjolkan termasuklah ‘mamak teh tarik’, hantu, bomoh serta seorang ibu garang lengkap dengan rotan di tangan, sekali gus mengundang senyuman dan sorakan daripada para pengunjung.
Lebih menarik, pakaian dan aksesori yang digayakan bukanlah serba baharu, sebaliknya hasil kreativiti mengolah barangan sedia ada di rumah.
"Tema ikut tema Keretapi Sarong macam tahun ini tema dia serumpun dan kami hanya mix and match. Kalau tengok kat sini macam kita ada mak tengah panggil anak untuk disebat, semua pernah merasa pengalaman itu. Sangat nostalgia.
“Bagi seram atau cerita mistik, kita ada bomoh dan setiap bangsa ada hantu kepercayaan sendiri. Macam saya, teh tarik sinonim dengan kita. Semua serumpun. Kita ada lepak mamak dan berkongsi selera yang sama.
“Pakaian dan aksesori memang sedia ada kat rumah dan cuma tambah baik sahaja. Senduk dari dapur,” katanya.
Mengulas lanjut, Azim berkata perpaduan yang ditonjolkan rakyat Malaysia menjadi pendorong utama keluarganya untuk terus menyertai aktiviti seumpama ini.
“Saya suka bila berkumpul beramai-ramai walaupun tidak kenal dan boleh bertegur sapa sesama sendiri,” ujarnya.
Kreativiti keluarga ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah mengangkat makna sebenar tema serumpun kepelbagaian gaya namun tetap bersatu sebagai satu identiti