Sekilas
- Elizabeth Tan berhasrat untuk mempunyai dua cahaya mata sebelum usia 35 tahun supaya ibu bapanya sempat melihat anak-anaknya membesar.
- Dia telah mencuba kaedah semula jadi, IUI dua kali, dan kini mempertimbangkan rawatan IVF walaupun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.
- Elizabeth juga membintangi filem seram Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay yang akan ditayangkan pada 15 Oktober 2026.
Penyanyi, Elizabeth Tan, 32, mengakui dirinya menyimpan hasrat untuk menimang dua cahaya mata sebelum berusia 35 tahun.
Menurut Elizabeth atau nama penuhnya Elizabeth Tan Su Mei, dia mahu ibu bapanya sempat melihat wajah anak-anaknya memandangkan usia mereka yang semakin meningkat.
"Tahun ini saya dah berumur 32 tahun. Kami dah mula mencuba sejak saya berusia 30 tahun.
"Kalau boleh sebelum 35 tahun, saya nak dua orang anak. Sekarang satu pun tiada. Ibu bapa saya pun dah tua.
"Saya nak mereka kenal anak-anak saya dan lihat mereka membesar. Saya buat untuk mereka dan diri saya juga," katanya kepada Gempak.
Elizabeth berkata demikian ketika menghadiri majlis pengenalan barisan pelakon filem Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay di Hextar World Empire, Petaling Jaya pada Selasa.
Bagaimanapun, pelantun lagu Knock Knock itu tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap rawatan IVF kerana pada asalnya dia berharap dapat hamil secara semula jadi.
"Tiada orang yang nak buat IVF sebagai pilihan pertama. Kalau boleh, semua nak mengandung secara semula jadi.
"Saya sebenarnya tak mahu terlalu teruja dan tak mahu letakkan harapan. Saya pernah buat Inseminasi Dalam Rahim (IUI) sebanyak dua kali, tapi tak berjaya.
"Kita dah cuba setiap bulan pun tak lekat. IVF pun tak semestinya menjadi," katanya.
Terdahulu, Elizabeth berkongsi mengenai usahanya mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun mencuba.
Selain IVF, dia pernah menjalani rawatan IUI sebanyak dua kali namun belum berhasil.
Untuk rekod, Elizabeth mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth membintangi filem seram Pemuja Syaitan yang juga naskhah layar lebar pertama arahan Liyana Jasmay.
Filem berkenaan menampilkan Zul Ariffin sebagai teraju utama dengan barisan pelakon utama lain seperti Nadhir Nasar dan Aila Azizul.
Diterbitkan oleh Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution, Pemuja Syaitan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 15 Oktober 2026.