Skip to main content

Berita Tempatan

PERWATAM Gesa Kerajaan Tangguh Cermat Madani, Dakwa 15,000 Ejen Bakal Terjejas?

ASTRO GEMPAK perwatam

Sekilas

  • PERWATAM menggesa kerajaan tangguhkan pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani sehingga isu tadbir urus, persaingan industri, keselamatan data dan perlindungan pengguna diperjelaskan.
  • Persatuan itu bimbang pelaksanaan pembaharuan insurans melalui aplikasi MyJPJ boleh menjejaskan persaingan sihat dan pendapatan ejen insurans akibat promosi dan rebat tambahan.
  • PERWATAM mahu urusan jualan insurans dikendalikan oleh ejen bertauliah dan telah memohon pertemuan rasmi dengan Menteri Pengangkutan untuk bincang isu ini.

Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Inisiatif Cermat Madani sehingga semua isu berkaitan tadbir urus, persaingan industri, keselamatan data dan perlindungan pengguna diperjelaskan secara menyeluruh.

Presidennya, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan jalan raya menerusi pendigitalan, namun pelaksanaan dasar awam perlu dilakukan secara telus, adil dan inklusif agar tidak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pemain industri.

Menurut beliau, PERWATAM yang mempunyai lebih 900 ahli turut mewakili suara lebih 15,000 wakil takaful am dan ejen insurans di seluruh negara.

Malah, katanya, persatuan itu akan bergabung dengan beberapa persatuan ejen insurans am lain bagi mengemukakan pandangan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.

"Kita bukan menentang keputusan kerajaan. Kita cuma mahu memberikan input mengenai ketidakseimbangan yang mungkin berlaku sekiranya pelaksanaan ini diteruskan tanpa pemantauan dan tadbir urus yang jelas," katanya pada sidang media, hari ini.

Khairi berkata, antara kebimbangan utama PERWATAM ialah cadangan pembaharuan insurans dan takaful menerusi aplikasi MyJPJ, yang menurutnya berpotensi mewujudkan persepsi layanan eksklusif kepada syarikat tertentu sehingga menjejaskan persaingan sihat dalam industri.

Menurutnya, pembaharuan polisi insurans dan takaful bukan sekadar transaksi digital kerana pengguna masih memerlukan khidmat nasihat, bantuan selepas jualan, pengurusan tuntutan, pindaan polisi serta sokongan ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.

"Produk insurans ialah produk nasihat (advisory product). Ia bukan boleh dibeli secara membuta tuli tanpa panduan ejen. Nak urus cukai jalan itu kerja JPJ, tetapi urusan insurans biarlah dikendalikan oleh ejen yang bertauliah," katanya.

Mengulas mengenai kesan kepada pendapatan ejen, beliau berkata pelaksanaan Cermat Madani dijangka memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan promosi melalui platform kerajaan serta tawaran rebat tambahan sebanyak 10 peratus kepada pengguna.

"Kalau ditanya mengenai pendapatan, memang pasti terjejas. Bila ada promosi secara menyeluruh dan diskaun tambahan kepada pengguna, ia memberi kesan langsung kepada sumber pendapatan ejen yang selama ini bergantung kepada komisen," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PERWATAM, Khidir Zulkifli, berkata kenyataan penafian (disclaimer) yang dipaparkan pada platform MyJPJ berpotensi mengelirukan pengguna kerana tidak menjelaskan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku pertikaian atau masalah berkaitan transaksi.

"Sebagai platform rasmi kerajaan, pengguna sewajarnya mempunyai saluran penyelesaian yang jelas. Apabila berlaku masalah, mereka akan merujuk kepada JPJ kerana urusan dibuat melalui platform kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Agung PERWATAM, Muhammad Syameem Ahmad, turut membangkitkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan data memandangkan JPJ mengendalikan pangkalan data pemilik kenderaan terbesar di negara ini.

Menurutnya, sebarang kerjasama dengan pihak swasta yang melibatkan perkongsian data perlu disertakan jaminan keselamatan siber, kawalan akses serta mekanisme pemantauan yang jelas.

PERWATAM turut memaklumkan pihaknya telah memohon mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi membincangkan isu berkenaan dan mendapatkan penjelasan mengenai hala tuju pelaksanaan Cermat Madani.

"Secara diplomatik dalam kenyataan media kami memohon supaya pelaksanaan ini ditangguhkan. Namun matlamat utama kami ialah supaya urusan jualan insurans dan takaful tidak dijalankan melalui aplikasi MyJPJ. Biarlah pasaran ini kekal adil, kerajaan menjalankan fungsi kawal selia, manakala urusan perlindungan insurans terus diuruskan oleh ejen yang bertauliah," katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Simkad BeONE Prepaid by Redone | Sim Card Internet High Speed 4G 5G Unlimited Call

Simkad BeONE Prepaid by Redone | Sim Card Internet High Speed 4G 5G Unlimited Call

TuneTalk HaloTelco Sim Card | Simkad Tune Talk Halo Telco Unlimited Speed 4G 5G Full Hotspot

TuneTalk HaloTelco Sim Card | Simkad Tune Talk Halo Telco Unlimited Speed 4G 5G Full Hotspot

Must Watch Video

Advertisement