Sekilas
- Rahim Sepahtu jelaskan bayaran mingguan dalam program realiti diberikan secara individu dan berbeza antara ahli.
- Ahli kumpulan tidak tahu jumlah bayaran yang diterima oleh rakan lain kerana bayaran dibuat secara berasingan oleh Astro.
- Hadiah kemenangan dibahagikan sama rata kepada semua ahli tanpa mengira lama atau baru dalam kumpulan.
Penyampai radio dan pelawak, Rahim Sepahtu berkongsi mengenai cara pembahagian bayaran dalam program realiti.
Menerusi podcast Sembang Seram bersama Safwan Nazri, Rahim menjelaskan bahawa bayaran mingguan diberikan mengikut individu, manakala hadiah kemenangan dibahagikan sama rata kepada semua ahli kumpulan.
Menurut Rahim, jumlah bayaran mingguan setiap individu berbeza. Malah, mereka tidak mengetahui jumlah bayaran yang diterima oleh ahli lain.
“Untuk bayaran mingguan, Astro akan berjumpa setiap individu pada keesokan harinya.
“Bayaran setiap orang pasti berbeza. Kami juga tidak tahu berapa jumlah yang diterima oleh ahli lain.
“Bukan kami yang menetapkan harga. Kami hanya boleh bersetuju atau menolak tawaran yang diberikan,” katanya.
Rahim turut menjelaskan bahawa hadiah kemenangan dibahagikan secara adil tanpa mengira sama ada seseorang itu ahli lama atau pendatang baharu.
“Untuk Maharaja Lawak, apabila kita menang, hadiah akan dibahagikan sama rata. Tiada seorang pun yang mendapat lebih.
“Walaupun saya ahli baharu, tidak bermakna saya hanya mendapat 10 peratus daripada hadiah. Semua orang menerima bahagian yang sama,” ujarnya.