Sekolah Afwa Al Aafiyah milik Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Gaza telah musnah dibedil rejim Israel.
Menerusi satu kenyataan oleh Yayasan Nurjiwa, Siti Nurhaliza akui terkejut dengan berita tersebut namun tekad untuk membangunkan semula tempat perlindungan serta pendidikan untuk anak-anak di Gaza itu.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami di Yayasan Nurjiwa ingin memaklumkan bahawa Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza, yang selama ini menjadi tempat perlindungan serta pendidikan untuk anak-anak di sana, telah musnah dibedil oleh rejim Israel.
“Berita ini amat mengejutkan serta menyayat hati seluruh warga Yayasan Nurjiwa, terutama pengasasnya, Dato’ Sri Khalid dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
“Walau bagaimanapun, kami tetap bertekad untuk terus berdiri bersama rakyat Gaza dan mencari jalan bagi membina semula harapan yang telah musnah,” ujar kenyataan rasmi Yayasan Nurjiwa.
Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan serta memberikan sokongan terhadap usaha-usaha kemanusiaan demi masa depan anak-anak Gaza yang masih mengharap sinar kehidupan lebih baik.