Sekilas
- Lebih 10,000 rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan generasi berkumpul di Dataran Putrajaya untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dengan tema "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati".
- Acara meriah termasuk perbarisan dengan 76 kontinjen, persembahan budaya, teknologi digital, serta kemunculan ikon animasi Upin & Ipin yang meraikan ulang tahun ke-20.
- Perarakan turut menampilkan kontinjen ketenteraan, agensi baharu AKPS, serta pertunjukan udara pesawat pertahanan negara sebelum diakhiri dengan persembahan lagu tema oleh Faizal Tahir.
Jiwa merdeka puluhan ribu rakyat Malaysia membara di Dataran Putrajaya hari ini apabila rakyat pelbagai kaum dan generasi bersatu dalam suasana penuh meriah bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta menzahirkan kecintaan kepada negara bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Seiring dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, rasa bangga dan keterujaan rakyat meraikan sambutan ke-69 tahun kemerdekaan negara, jelas terpancar pada riak wajah mereka yang telah membanjiri segenap sudut laluan perarakan sejak petang semalam lagi.
Putrajaya sekali lagi menjadi pentas sambutan nasional itu selepas kali pertama menjadi tuan rumah pada 2003, disusuli 2005, 2018, 2019, 2023, 2024 dan 2025, sekali gus menyaksikan kemeriahan Hari Kebangsaan kembali mewarnai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, pembuka acara yang begitu bermakna dalam diri setiap rakyat Malaysia ini dimulai dengan kehadiran dif-dif kehormat dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di pentas diraja pada 7.53 pagi dan disambut dengan alunan lagu Hormat Perdana.
Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-69 ialah keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, tepat 8 pagi.
Sejurus keberangkatan tiba, lima pesawat helikopter membawa Jalur Gemilang melakukan lintas hormat, sebagai penghormatan kepada Seri Paduka Baginda diiringi nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku dan lagu Hormat Diraja.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, diplomat dan perwakilan asing, turut menghadiri sambutan itu.
Suasana penuh patriotik semakin terasa apabila acara rasmi dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, menaikkan Jalur Gemilang diiringi 14 das tembakan sebagai simbolik kepada 14 negeri di Malaysia oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.
Melengkapkan penghayatan sambutan Hari Kebangsaan, lafaz ikrar Rukun Negara dipimpin Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Razak Muda, disertai 69 “Wira Merah” JBPM serta jurubahasa isyarat Nur Alyanatasha.
Denyut jiwa merdeka rakyat Malaysia berkobar bangga dan masing-masing tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang mini sebaik laungan keramat “Merdeka” bergema di setiap sudut Dataran Putrajaya sebanyak tujuh kali seusai habis bacaan ikrar tersebut.
Kemeriahan diteruskan dengan persembahan pembukaan menakjubkan dan penuh semangat “Gema Inovasi MADANI” yang mengetengahkan keunikan warisan dan kepelbagaian budaya menerusi paluan 150 alat muzik serta 700 kompang tradisi dan inovasi, mewakili kaum utama di Malaysia.
Diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan itu menjadi manifestasi semangat MADANI dalam mengangkat warisan budaya, inovasi dan perpaduan selain simbolik kepada kesejahteraan, keharmonian dan muhibah.
Tumpuan kemudiannya beralih kepada acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 yang menghimpunkan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan selain 22 unit aset kenderaan elektrik (EV), diserikan dengan persembahan grafik manusia di teres.
Disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial, perbarisan dan perarakan itu mengetengahkan komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam serta keselamatan negara sebelum diteruskan dengan persembahan udara dan persembahan khas “Rentak MADANI, Paluan Tradisi”.
Perarakan dimulakan dengan persembahan Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) yang terdiri daripada seorang pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat, dipimpin oleh Kapten Mohd Rizuan Mohd Ramzi.
Menyusul megah, Jalur Gemilang bersaiz besar dibawa melintasi pentas utama oleh 120 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), gabungan tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara, diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan Batalion Muhammad Haiqal Mohd Yusoff.
Diikuti dengan Pancaragam Victoria Institution, Pancaragam St John's Institution dan pasukan pembawa bendera negeri, penonton turut berdiri mengibarkan bendera kecil masing-masing mengikut rentak muzik.
Membawa naratif kesejahteraan di bawah Inisiatif Kerajaan MADANI, perarakan diteruskan dengan Kontinjen Perkhidmatan Awam membabitkan 220 penjawat awam yang membawa aspirasi 29 kementerian dan jabatan kerajaan merangkumi pelbagai bangsa.
Diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, kontinjen itu mencerminkan kepelbagaian sektor perkhidmatan dan latar belakang termasuk menampilkan anggota penguat kuasa yang bersama-sama menggalas amanah berkhidmat kepada rakyat.
Semangat perpaduan dalam kepelbagaian pula diterjemahkan menerusi penampilan 200 peserta Kontinjen Kementerian Perpaduan Negara terdiri daripada etnik Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba Nyonya, Cetti dan Siam yang tampil dalam busana etnik lengkap dengan aksesori melambangkan budaya serta adat resam masing-masing.
Warna-warni perarakan semakin meriah dengan kemunculan Kontinjen Melawat Malaysia 2026-2027 melibatkan 90 peserta dan empat kenderaan serba rupa bumi (ATV) selain kereta berhias yang mengetengahkan ikon pelancongan negeri, flora dan fauna, busana serta alat muzik tradisional pelbagai kaum.
Semangat luar biasa dan sorakan pengunjung semakin bergema di sekitar Dataran Putrajaya apabila Kontinjen Kesejahteraan Sukan melintasi pentas utama, menampilkan 100 peserta termasuk atlet negara dan pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026 bersama dengan warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), membawa semangat “Raikan Perpaduan” menuju Sukan SEA 2027.
Generasi muda yang penuh semangat juga tidak ketinggalan menyumbang bakti dan tenaga pada perarakan menerusi Kontinjen Kesejahteraan Pendidikan melibatkan 100 pelajar dari sekolah rendah hingga institusi pendidikan tinggi, manakala Kontinjen Kesejahteraan Pertanian pula tampil penuh megah bersama-sama aset termasuk jentuai padi mini, dron pertanian, traktor empat roda dan kenderaan elektrik.
Turut mencuri perhatian ialah Kluster Keterhubungan Digital yang menampilkan robot humanoid serta kereta berhias berteraskan inovasi, tenaga solar, kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G, mencerminkan perkembangan teknologi dan keterhubungan digital negara.
Segmen itu menampilkan kereta berhias bersama-sama barisan pelakon filem Terbang sebelum kemunculan Upin & Ipin yang meraikan ulang tahun ke-20 menerusi kereta berhias Les’ Copaque yang mendapat tepukan gemuruh, menyerlahkan dua watak kesayangan ramai itu sebagai antara ikon animasi negara yang membawa identiti budaya Malaysia ke persada antarabangsa.
Warna-warni perarakan semakin meriah dengan kemunculan Kontinjen Melawat Malaysia 2026-2027 melibatkan 90 peserta dan empat kenderaan serba rupa bumi (ATV) selain kereta berhias yang mengetengahkan ikon pelancongan negeri, flora dan fauna, busana serta alat muzik tradisional pelbagai kaum.
Semangat luar biasa dan sorakan pengunjung semakin bergema di sekitar Dataran Putrajaya apabila Kontinjen Kesejahteraan Sukan melintasi pentas utama, menampilkan 100 peserta termasuk atlet negara dan pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026 bersama dengan warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), membawa semangat “Raikan Perpaduan” menuju Sukan SEA 2027.
Generasi muda yang penuh semangat juga tidak ketinggalan menyumbang bakti dan tenaga pada perarakan menerusi Kontinjen Kesejahteraan Pendidikan melibatkan 100 pelajar dari sekolah rendah hingga institusi pendidikan tinggi, manakala Kontinjen Kesejahteraan Pertanian pula tampil penuh megah bersama-sama aset termasuk jentuai padi mini, dron pertanian, traktor empat roda dan kenderaan elektrik.
Turut mencuri perhatian ialah Kluster Keterhubungan Digital yang menampilkan robot humanoid serta kereta berhias berteraskan inovasi, tenaga solar, kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian 5G, mencerminkan perkembangan teknologi dan keterhubungan digital negara.
Segmen itu menampilkan kereta berhias bersama-sama barisan pelakon filem Terbang sebelum kemunculan Upin & Ipin yang meraikan ulang tahun ke-20 menerusi kereta berhias Les’ Copaque yang mendapat tepukan gemuruh, menyerlahkan dua watak kesayangan ramai itu sebagai antara ikon animasi negara yang membawa identiti budaya Malaysia ke persada antarabangsa.
Turut serta pada edisi kali ini ialah penampilan julung-julung kali kontinjen Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang merupakan pasukan tertua di Malaysia berperanan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan institusi Diraja Johor, di bawah pimpinan Leftenan Mohammad Nor Helmi Mohamed Amin dengan kekuatan 62 anggota.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), agensi baharu di bawah reformasi MADANI diketuai Inspektor Ismail Ahmad dengan kekuatan 115 anggota juga membuat kemunculan sulung pada acara perbarisan.
Pada perarakan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja menampilkan pasukan tugas am, unit operasi dan pasukan khas, malah menyentuh nilai penghargaan dengan barisan pesara polis kembali melangkah di hadapan ribuan pengunjung sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan bakti kepada negara.
Kehebatan pertahanan negara turut terserlah menerusi perarakan pelbagai aset darat, laut dan udara antaranya Kenderaan Perisai Lipan Bara, kereta perisai Gempita pelbagai varian persenjataan terdiri daripada AFV 30mm, ATGW dan surveillance, serta kereta kebal PT-91M Pendekar 125 mm.
Menambah kemeriahan segmen ketenteraan ialah aksi Tim Akrobatik Army Red Warrior yang mempersembahkan formasi di atas motosikal bergerak, selain penampilan pasukan pengendali anjing perang serta Skuadron Istiadat Berkuda Tentera Darat Malaysia.
Melengkapkan acara gilang-gemilang, tumpuan rakyat Malaysia beralih ke ruang udara Putrajaya menerusi transmisi langsung dari pesawat SU-30MKM yang diterbangkan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, digabungkan dengan pelbagai pesawat pertahanan negara antaranya C-130 Hercules dan Superlynx MK 100 yang memecah suasana di Dataran Putrajaya dengan sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai.
Usai pertunjukan udara, persembahan khas “Rentak MADANI Paluan Tradisi” dan kemunculan yang ditunggu-tunggu penyanyi Faizal Tahir yang membawakan lagu tema Aku Berjanji dengan penuh patriotik menutup acara sambutan yang meriah dan bewarna-warni yang berlangsung selama dua jam itu.
Selamat Hari Kebangsaan ke-69! Malaysia tanah tumpah negaraku, rakyat Malaysia berkongsi satu jiwa merdeka, satu rasa semangat perpaduan dan keharmonian.
Sumber: Astro AWANI menerusi BERNAMA