Sekilas
- Siti Khadijah Halim mendedahkan dia pernah mengalami tempoh sukar tiga tahun lalu apabila sukar mendapat tawaran berlakon kerana ramai pihak enggan bekerjasama dengannya.
- Dia berkongsi bahawa berita Amir Ahnaf juga tidak mahu bekerjasama dengannya membuatkan dia sangat emosi dan terasa penat dengan andaian negatif orang terhadap dirinya.
- Siti menegaskan dia seorang kawan yang baik dan pelakon yang bagus, namun kecewa kerana orang memilih untuk tidak menyukainya tanpa cuba mengenalinya terlebih dahulu.
Pelakon, Siti Khadijah Halim mendedahkan dirinya pernah melalui masa sukar apabila susah mendapat tawaran berlakon kira-kira tiga tahun lalu.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di Threads, Siti yang sedang bersiaran langsung bersama aktor Amir Ahnaf dan Haidar Hasanudin berkata pihak produksi ketika itu memaklumkan ramai pihak yang tidak mahu bekerjasama dengannya.
Siti berkata perkara itu sangat memberi kesan kepadanya sehingga membuatkan dia tertanya-tanya tentang kesilapan yang pernah dilakukan sehingga orang ramai tidak mahu mendekatinya.
“Pihak produksi datang kat aku dan maklumkan pada aku mereka sedang struggle mencari peluang berlakon untuk aku kerana semua orang tidak mahu bekerjasama dengan aku.
“Ketika itu, aku menangis sangat teruk. Bila aku dapat tahu perkara itu, aku tertanya apa yang aku buat sampai semua tak nak dengan aku. Nama aku dah buruk. Aku sedih gila,” kongsinya.
Dalam pada itu, Siti turut diberitahu bahawa Amir juga tidak mahu bekerjasama dengannya.
Katanya, perkara itu membuatkan dia lebih emosi kerana ketika itu dia sudah terlalu penat berdepan dengan orang yang membuat andaian tentang dirinya tanpa mengenalinya.
“Bukan kau sahaja yang buat aku sedih kerana perkara itu. Perkara itu telah berlaku tiga tahun lalu. Baru-baru ini, selepas habis kerja, aku dengar Amir pula tak mahu bekerjasama dengan aku.
“Ketika aku diberitahu, aku sangat emosi sebab aku paling penat dan noya dengan orang yang tak kenal aku,” ujarnya.
Menurut Siti, dia paling tidak suka apabila ada orang terus menilai dirinya tanpa cuba mengenalinya terlebih dahulu.
Siti juga menyifatkan dirinya sebagai seorang kawan yang baik dan percaya dirinya mampu memberikan yang terbaik sebagai pelakon.
“Aku rasa aku adalah kawan yang sangat baik dan pelakon yang boleh dikatakan bagus juga. Cuma orang tak nak bagi peluang untuk berkawan dengan aku dan pilih untuk tidak menyukai aku.
“Aku rasa mereka rugi gila tak berkawan dengan aku. Bila mereka dah ambil keputusan untuk tak suka aku, aku tak boleh nak buat apa,” katanya.