Sekilas
- Syukri, peserta Borneo Rising, mula berniaga gunting rambut selepas kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai penghantar makanan.
- Dia menggunakan kemahirannya untuk membantu peserta lain dan tenaga produksi secara percuma ketika ada masa lapang.
- Borneo Rising disiarkan secara langsung setiap Ahad di Astro Ria dan TV Okey, dengan penjurian melibatkan juri profesional dan undian penonton.
Bintang Borneo Rising, Syukri tampil berkongsi titik permulaan dirinya menceburi bidang menggunting rambut (barber) sebelum menyertai program realiti berkenaan.
Syukri atau nama penuhnya Muhammad Syukri Arip berkata, dia mula mengusahakan perniagaan gunting rambut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai penghantar makanan.
Menurutnya, kejadian itu mendorong ibu bapanya menyarankan agar dia memulakan perniagaan yang mampu menjana pendapatan untuk jangka masa panjang.
“Sejak empat tahun lepas, saya sudah mula gunting rambut. Dulu saya rider foodpanda tetapi saya pernah kemalangan. Jadi, ibu bapa saya mahu saya buat bisnes jangka panjang.
“Kemudian, saya saya terfikir untuk buka perniagaan gunting rambut kerana saya rasa setiap hari akan ada orang gunting rambut. Orang yang datang gunting rambut ini memang sampai bila-bila akan ada sahaja permintaan. Sebab itu, saya buka barber milik saya sendiri,”katanya ketika dihubungi Gempak.
Dalam masa sama, Syukri yang tersingkir pada minggu keenam itu turut berkata dia menggunakan kemahirannya itu untuk membantu peserta lain dan tenaga produksi ketika mempunyai masa lapang.
“Semua peserta saya yang gunting rambut. Malah krew pun sama. Mereka mahu bayar tetapi saya kasi percuma sahaja. Bila ada kemahiran, kita bagilah. Mereka semua okay, malah siap nak repeat. Saya boleh buat semua gaya rambut. Saya buat ketika ada masa lapang,”ujarnya.
Bintang Borneo Rising diadili oleh tiga juri tetap iaitu Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah.
Penjurian Borneo Rising ditentukan menerusi 80 peratus pemarkahan daripada juri profesional dan 20 peratus lagi berdasarkan undian penonton.
Borneo Rising dihoskan oleh Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad selama lapan minggu, bermula 6 September 2026 hingga 25 Oktober 2026.
Program itu disiarkan secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah, setiap Ahad, jam 9 malam.
Borneo Rising boleh ditonton menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), selain boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.