Sekilas
- Farah Ahmad tidak pernah mengambil bayaran daripada anaknya, Mhia Firdaus, untuk projek lakonan kerana menghormati hasil usaha mereka sendiri.
- Walaupun anak-anaknya aktif dalam seni persembahan, Farah memastikan mereka tidak mengabaikan pelajaran dan sentiasa memberi sokongan penuh.
- Filem SAYANG SAYANG yang menampilkan Mhia Firdaus akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia mulai 5 November.
Pelakon, Farah Ahmad mendedahkan dia tidak pernah mengambil bayaran daripada anak-anaknya terutama aktres, Mhia Firdaus setiap kali mereka terlibat dengan mana-mana projek lakonan.
Menurut Farah, dia menggangap duit anak-anaknya itu merupakan hasil titik peluh mereka sendiri, maka dia tidak mahu masuk campur hal kewangan anaknya.
“Setakat ini, kalau tanya gaji dia, saya tak pernah ambil bayaran kalau dia pergi shooting. Dia beli barang atau bayar pengajian tetapi saya tetap beri duit perbelanjaan. Duit mereka duit mereka.
“Ketika sekolah, saya adalah masuk campur. Tetapi dia sendiri yang suruh saya pegang dan masukkan duit dalam akaun dia. Dia pun boleh akses akaun itu. Dia tahu kelemahan diri dia macam mana. Kalau dia nak, saya beri sahaja,”katanya kepada Gempak.
Katanya lagi, dia tidak mahu meminta duit anaknya dan ingin berusaha untuk mencari wang sendiri.
“Setakat ini, saya tak pernah minta duit anak saya. Kalau boleh, saya akan cari sendiri. Mereka tahu susah senang saya. Mereka tahu struggle saya.
“Kami tak bina banglo 7 tingkat tetapi cukuplah dengan apa yang kami perlukan. Kalau ada rezeki lebih Alhamdulillah. Kalau dia nak belanja, belanjalah, Saya tak pernah meminta,”ujarnya.
Dalam masa sama, Farah turut bersyukur meskipun anak-anaknya sangat aktif dengan seni persembahan, namun mereka tidak pernah mengabaikan pelajaran.
“Dia mula berlakon sejak kecil. Walaupun tak kerap, tetapi anak-anak tak akan ponteng sekolah. Saya bertuah anak saya aktif macam mana pun, mereka tetap utamakan pendidikan. Tugas saya adalah untuk membantu dan beri sokongan buat mereka,”kongsinya
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza iaitu Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, mengejar impian serta mencari tempat mereka dalam kehidupan.
Selain Farah, filem tersebut turut menampilkan Nandagopall Mohan, Jo Kukathas, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Mhia Firdaus, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November depan.