Berita
Tiada Penyingkiran di Minggu Suku Akhir, GGV2 Beri Lebih Peluang Kepada Peserta
Minggu kelima rancangan realiti Islamik Gema Gegar Vaganza (GGV2) menyaksikan tiada penyingkiran peserta dan menyelamatkan kumpulan Devotees yang berada di kedudukan terbawah.
Mengulas mengenai keputusan terbabit, kata Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, GGV2 mahu memberikan lebih ruang kepada peserta untuk berkarya pada minggu separuh akhir, minggu hadapan.
"Semua bintang GGV2 memberikan persembahan yang pelbagai dan unik setiap minggu namun masih belum mencapai ekspektasi yang penonton mahukan.
"Begitu juga konsistensi, ada beberapa bintang yang pernah berada di kedudukan teratas jatuh pada minggu seterusnya, begitu juga sebaliknya.
"Jadi, kami melihat dengan tiadanya penyingkiran pada minggu kelima, bintang-bintang yang masih kekal bertanding untuk pusingan separuh akhir nanti akan memberikan persembahan di luar jangka," katanya kepada Astro Gempak.
Konsert kelima GGV2 meletakkan Devotees di tangga tercorot manakala bintang solo Adeep Nahar kembali merampas takhta teratas menerusi persembahan beremosi lagu Untukmu Ibu bersama Mamat Exist.
GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).
Konsert minggu keenam GGV2 bakal membawa tema Gegar Gema Impian dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.
Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.
Teks oleh: Amri Hassan
Must-Watch Video