Big Stage 2023
#BIGSTAGE5: Coex Dapat Markah Tercorot, Farhan Shah Dah 3 Kali Bottom Three! Mujurlah Tiada Penyingkiran!
Kesepuluh bintang Big Stage 5 menghela nafas lega apabila diumumkan tiada penyingkiran pada konsert kelima yang berlangsung pada Ahad.
Lebih melegakan hati buat ketiga-tiga bintang yang berada di kedudukan terbawah minggu ini iaitu Firdaus Rahmat, Farhan Shah dan kumpulan Coex.
Firdaus dan Coex kedua-duanya sudah dua kali berada di kedudukan tiga terbawah manakala ini kali ketiga Farhan merasai tangga tiga terbawah setiap minggu.
Coex yang membuka tirai persembahan konsert minggu ini gagal menambat hati juri menerusi lagu G.I.G (Elite). Sama seperti pertaruhan Farhan Shah yang sekali lagi menyanyikan lagu wanita berjudul Tenda Biru (Desy Ratnasari).
Bertemakan High School Crush, 10 peserta Big Stage 5 diadili oleh juri tetap Ajai dan Aina Abdul serta juri jemputan, Datuk Ramli MS. Manakala, Presiden Netizen pada minggu ini pula merupakan bintang sensasi kegilaan ramai, Amir Ahnaf.
Minggu ini, Dem Lepak Boyz memenangi anugerah Dominasi Persembahan Terbaik, hasil pilihan juri-juri profesional. Pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000.
Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan markah oleh juri profesional.
1. Hoondoo - 85.33%
2. Putera Muhammad - 78%
3. Dem Lepak Boysz - 75.67%
4. Nadeera Zaini - 73%
5. Waode - 65.33%
6. Puteri Khareeza - 64.33%
7. Aufahanie - 58.33%
8. Firdaus Rahmat - 47%
9. Farhan Shah - 46.67%
10. Coex - 41.67%
Pertandingan ‘Big Stage’ telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).
‘Big Stage 5’ akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 7 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Must-Watch Video