Covid-19
Hasnul Rahmat Negatif COVID-19, Doakan Kawan-Kawan Produksi Demi Cepat Sembuh
Salah seorang pelakon Demi, Hasnul Rahmat yang menjalani penggambaran di Scotland mengesahkan keputusan ujian saringan COVID-19 negatif.
Hasnul berkata, sebaik mendapati dirinya bebas wabak itu, dia hanya berkurung di rumah seperti diarah.
“Saya baik... Alhamdulillah, keputusan negatif. Saya hanya duduk di rumah sehingga tamat tempoh kuarantin iaitu esok seperti tertera dalam surat dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Mengulas keadaan menimpa teman pelakon dan kru drama berkenaan, Hasnul hanya mampu mendoakan mereka segera sembuh.
“Saya tiada hak untuk bercakap mengenai orang lain. Sebaliknya, saya hanya boleh berdoa pada kawan-kawan yang dijangkiti wabak itu supaya cepat sembuh dan boleh keluar dari hospital segera,” katanya.
Walaupun terpaksa berkurung di rumah selama dua minggu, Hasnul berkata, ia bukanlah masalah besar buatnya.
“Jika tiada penggambaran, saya jarang keluar rumah. Saya sudah biasa dan selesa dengan keadaan ini.
“Walaupun bersendirian, kita masih boleh bersama-sama dengan penuh rasa cinta dan membuat kebaikan,” katanya yang sentiasa bersikap positif.
Bulan lalu, Hasnul atau nama penuh, Hasnul Rahmat Mustafa menyertai kru produksi drama rantaian Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland.
Sekembali ke Malaysia, pengarah drama terbabit, Rahila Ali dan tiga pelakon iaitu Puteri Aishah, Ashraf Muslim dan Puteri Rayyana Rayqa, disahkan positif COVID-19.
Individu lain dalam rombongan yang turut dijangkiti COVID-19 adalah ibu Rayqa dikenali sebagai Syira, penolong pengarah, jurukamera serta kakitangan bahagian pakaian dan solekan.
Mereka kembali ke Malaysia pada 31 Mac lalu.
Sumber: BH Online
Must-Watch Video