Covid-19

"Wajib Pakai Pelitup Muka Bermula 1 Ogos Kerana Rakyat Semakin Tidak Patuh Kepada SOP!" -Menteri Keselamatan

gempak
Fiza Kamarudin
23/07/2020
07:10 MYT
Sponsor Banner
"Wajib Pakai Pelitup Muka Bermula 1 Ogos Kerana Rakyat Semakin Tidak Patuh Kepada SOP!" -Menteri Keselamatan
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelitup muka wajib dipakai bermula 1 Ogos ini.
Beliau berkata, pemakaian pelitup muka diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam dan di tempat-tempat yang dikunjungi ramai seperti pasar, pasar raya dan lain-lain tempat awam.
Tambah beliau lagi, kerajaan terpaksa mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana rakyat semakin tidak patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penjarakan sosial sudah tidak diamalkan. “Sebelum ini kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya pelitup muka dipakai ketika menaiki kenderaan awam. Tapi hari ini didapati pelitup muka tidak lagi digunakan ketika berada dalam bas, LRT dan pesawat!
“Sedangkan kedudukan di antara satu dengan yang lain berhimpit-himpit dan sebagainya. Penjarakan sosial? Kita dapati di tempat-tempat awam penjarakan sosial tidak lagi dilaksanakan.
“Jadi sebab itulah akhirnya kerajaan membuat keputusan hari ini di dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), mulai 1 Ogos pemakaian pelitup muka adalah wajib!,” katanya menerusi sidang media harian pada petang Khamis. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pemakaian pelitup muka sebelum ini tidak diwajibkan kerana mengambil kira faktor kos yang terpaksa ditanggung rakyat untuk membeli barangan tersebut.
Oleh itu, kerajaan membenarkan pemakaian pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spek yang dikeluarkan WHO.
“Sebelum ini kita tak wajibkan pemakaian pelitup muka kerana mengambil kira faktor kos yang terpaksa ditanggung rakyat.
“Jika dia mempunyai ahli keluarga yang ramai, itu satu bebanan untuk membeli pelitup muka pakai buang. Jadi kita benarkan memakai pelitup muka yang dijahit sendiri mengikut spek dikeluarkan WHO,” katanya. Selain itu beliau turut menegaskan, rakyat yang tidak mematuhi arahan untuk memakai pelitup muka bermula 1 Ogos ini akan dikenakan tindakan.
“Bermula 1 Ogos ini jika ada yang masih ingkar dan tidak memakai pelitup muka di tempat-tempat yang disebut tadi, tindakan akan dikenakan di bawah Akta 342 seperti kompaun RM1,000 serta dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024