Sekilas
- Marthino Lio mengakui watak Darso dalam filem Badut Gendong adalah paling mencabar, terutama babak pertarungan dengan mata tertutup yang menyebabkan beberapa pelakon lagak ngeri terkena pukulannya secara tidak sengaja.
- Pelakon itu juga perlu berlari sambil menggendong patung badut dan menjiwai emosi kompleks watak Darso yang penuh luka, kehilangan, dan kemarahan.
- Awalnya watak Darso hampir diberikan kepada pelakon lain, tetapi selepas beberapa pelakon menarik diri, Marthino kembali mendapat peluang tersebut dan filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam Malaysia.
Pelakon Indonesia, Marthino Lio mengakui watak Darso dalam filem seram aksi Badut Gendong merupakan karakter paling mencabar pernah dilakonkannya sepanjang bergelar anak seni.
Pemenang tiga trofi Piala Citra itu berkata, antara cabaran terbesar adalah menjayakan babak pertarungan dengan mata tertutup sehingga beberapa pelakon lagak ngeri menjadi ‘mangsa’ akibat terkena pukulannya secara tidak sengaja.
“Nasib baik kami dapat pasukan koreografi dan stunt yang sangat bagus. Kami ada Kang Cecep dan Bang Joe yang banyak membantu.
“Anak-anak stunt memang kuat sebab ramai yang jadi mangsa saya. Tiba-tiba saya tertampar mereka, kemudian saya minta maaf. Lepas buka mata, terkena lagi. Memang saya asyik minta maaf,” katanya.
Selain babak berlawan tanpa melihat, Marthino turut berdepan cabaran apabila perlu berlari sambil menggendong patung badut selain menjayakan beberapa adegan aksi berbahaya.
Mengulas mengenai watak Darso, pelakon berusia 36 tahun itu menyifatkan karakter tersebut paling istimewa kerana menuntut keseimbangan emosi yang sukar diterjemahkan.
“Watak ini berada di kawasan yang samar-samar. Saya perlu membuatkan penonton bersimpati dengan seorang karakter yang melakukan perkara-perkara tidak baik.
“Itulah cabaran paling besar kerana Darso bukan sekadar watak antagonis, tetapi seorang lelaki yang dipenuhi luka, kehilangan dan kemarahan. Saya harap penonton dapat merasai emosi itu,” katanya.
Dalam masa sama, Marthino turut mendedahkan dia hampir kehilangan peluang membawakan watak Darso apabila pengarah Charles Gozali pada awalnya bercadang menawarkan karakter tersebut kepada pelakon lain.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap karakter dalam Universe Qodrat tampil segar dan tidak diulang oleh pelakon sama.
“Ketika itu Pak Charles beritahu dia mahu tawarkan kepada orang lain dahulu. Saya memang sedih sebab rasa watak itu sangat sesuai dengan saya.
“Tetapi lucunya beberapa pelakon yang ditawarkan watak itu akhirnya menarik diri kerana merasakan karakter Darso terlalu sukar.
“Ada juga yang telefon saya minta pandangan. Saya suruh mereka ambil peluang itu sebab seronok bekerja dengan MAGMA Entertainment. Tetapi akhirnya mereka tak jadi kerana jadual bertindih dan watak Darso kembali kepada saya,” katanya.
Filem arahan Charles Gozali itu turut dibintangi Clara Bernadeth, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Totos Rasiti, Akbar Kobar, Vonny Anggraini dan Jose Rizal Manua.
Dalam masa sama, filem ini merupakan terbitan MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.
Sekadar info, Badut Gendong kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Sumber: IDN Times.com