Rantai atau gegancu atau lebih dikenali sebagai sprocket adalah antara komponen penting bagi sesebuah motosikal, berfungsi untuk mengagihkan kuasa daripada enjin bagi menggerakkan roda belakang.


Kekuatan dan fungsi sprocket akan menyusut dalam jangka masa tertentu berdasarkan beberapa faktor seperti kekerapan menunggung motosikal, cuaca hujan dan kotoran seperti debu daripada permukaan jalan raya.

Jangka hayat dan prestasi sistem pacuan ini boleh terjejas jika penunggang motosikal tidak mengambil berat tentang soal penjagaan rantai dan sprocket.

Ini adalah tujuh cara mudah yang boleh diamalkan untuk penjagaan rantai dan sproket motosikal:

1. Sapukan pelincir pada rantai dan sprocket

Cara untuk menjadikan sistem pacuan rantai lebih daya tahan ialah sapukan atau sembur minyak pelincir pada permukaan sprocket dan rantai.

Langkah ini tidak mengambil masa lama dan mudah dilakukan kerana banyak pilihan tin semburan minyak pelincir ada ditawarkan di pasaran. Permukaan dua komponen ini perlu lapisan minyak untuk mengelakkan berlaku hakisan

2. Rajin bersihkan sprocket

Anda perlu membersihkan rantai dan sprocket sekurang-kurangnya sekali sebulan. Ini dilakukan dengan menggunakan sabun dan air untuk membuang kotoran yang melekat pada sistem pacuan rantai. Selepas mencuci dan membuang kotoran, anda diminta untuk menyembur atau menyapu bendalir pelincir pada rantai dan sprocket.

3. Perhatikan keadaan sprocket dan rantai

Selepas membasuh dan menyembur pelincir, anda perlu menyemak semula keadaan rantai dan kedudukan sprocket agar ia seimbang atau tidak miring. Rantai tidak perlu terlalu tegang semasa diketatkan kerana ia boleh meningkatkan peratusan untuk rantai terputus atau menambah tekanan pada motosikal.

4. Tukar sprocket ikut jadual

Lazimnya, sprocket ada jangka hayat penggunaan yang disyorkan pihak pengeluar. Ini bukan dicipta untuk digunakan sehingga haus semua giginya.

Anda juga boleh mendengar bunyi kasar daripada sprocket yang menandakan sudah tiba masanya ia perlu digantikan. Sebolehnya, anda digalakkan untuk menukar sprocket mengikut set iaitu membabitkan sprocket depan, belakang dan rantai.

5. Gunakan alat ganti tulen dan berkualiti

Adakala pengguna ditawarkan dengan alat ganti berkualiti rendah atau tiruan dengan harga lebih rendah, menjimatkan kos tetapi tidak tahan lama atau mudah rosak.

Sebenarnya, ia kurang menjimatkan jika membeli alat ganti berkualiti rendah kerana kadar kekerapan untuk menukar sistem pacuan rantai adalah lebih tinggi. Mungkin jimat dalam tempoh singkat tetapi menambah belanja dalam tempoh pendek-sederhana.

6. Basuh rantai dan sproket selepas hujan

Apabila motosikal ditunggang dalam hujan, terkena air hujan atau terendam dalam air banjir, anda dinasihatkan supaya segera membasuh motosikal menggunakan air dan sabun. Ini termasuk bahagian rantai dan sproket.

Kotoran dalam air, percikan pasir dan air hujan itu sendiri boleh menyebabkan kotoran melekat pada rantai serta sprocket. Ia juga boleh menyebabkan hakisan dan karat berlaku.

7. Jangan guna minyak enjin sebagai pelincir rantai

Kebiasaannya, banyak kedai motosikal melakukan kaedah salah iaitu menggunakan minyak enjin atau lebih teruk, minyak terpakai sebagai bahan pelincir pada rantai.

Minyak enjin terpakai boleh mendatangkan kerosakan, sekali gus membuatkan rantai dan sprocket lebih mudah rosak berbanding penggunaan semburan minyak pelincir dalam tin.

Penggunaan minyak enjin memudahkan lebih banyak kotoran melekat pada rantai dan sprocket. Ia juga lebih sukar untuk dicuci walaupun menggunakan sabun.

Adalah lebih baik untuk beli sahaja tin semburan minyak pelincir daripada mengambil langkah jimat yang membebankan kemudian hari.